The Power of Focus (Kuasa Fokus)

Kuasa fokusAssalamualaikum w.b.t

Kuasa fokus adalah satu daya tumpuan yang memusatkan segala fikiran, tenaga, masa dan komitmen diri HANYA kepada satu perkara sahaja.

Sebagaimana sebuah kanta yang memfokuskan dan menumpukan cahaya yang memasukinya kepada SATU titik sahaja di mana cahaya yang ditumpukan ini mampu menghasilkan tenaga haba yang kuat.

Fokus dan solat

Kita telah dilatih dalam solat 5 waktu untuk sentiasa fokus (khusyuk) di dalam solat tanpa memikirkan hal keduniaan sebaliknya fokus fikiran adalah pada pergerakan yang dilakukan, apa yang dibaca dan penghayatan ibadah di dalam solat.

Jika tiada fokus dan tidak khusyuk, maka kita dikategorikan sebagai lalai di dalam solat.

Oleh sebab itu, kuasa fokus ini tidak boleh dipandang mudah atau dianggap tidak penting.

Sebaliknya, ia amat penting dalam membantu kita menyiapkan segala kerja dan tugasan yang dirancang dengan lebih cepat, tepat dan sempurna.

Mereka yang berjaya adalah mereka yang fokus

Lihatlah di sekeliling kita orang yang berjaya di dalam bidang mereka semuanya dikenali dengan kepakaran yang mereka miliki.

Mereka yang berjaya hanya fokus kepada satu perkara sahaja sehingga mereka menjadi pakar dalam bidang yang mereka ceburi.

Sebagai contoh, Dr Azizan Osman mempunyai kepakaran dalam bidang pemasaran dan latihan, Irfan Khairi dalam bidang perniagaan internet, Hj Asri dalam bidang pelaburan saham, Pat Flynn dikenali sebagai jutawan blog, Chef Li dalam bidang masakan kulinari dan jutawan senyap, Pn. Ainon dalam bidang penulisan dan penerbitan buku dan banyak lagi.

Mereka mempunyai kepakaran dan bidang masing-masing.

Mereka tidak menjadi seperti mereka yang serba tahu dan pantang melihat sesuatu peluang akan disertai dan dicuba.

Sebaliknya, mereka hanya fokus kepada beberapa perkara dan membina kepakaran dalam perkara tersebut sehingga berjaya.

Fokus mengejar impian

Ramai yang mempunyai impian seperti menjadi jutawan, tetapi ia hanya tinggal impian jika tiada tindakan yang dilakukan.

Dengan fokus, impian anda menjadi lebih jelas dan dapat direalisasikan.

Tanpa fokus pula, anda akan melakukan perkara yang tidak penting berbanding daripada perkara penting yang seharusnya anda lakukan untuk mencapai impian tersebut.

Kenapa perlu fokus?

  • Memberi hasil yang terbaik
  • Tiada gangguan, idea menjadi lebih kreatif
  • Fikiran lebih tenang dan bertumpu
  • Kerja dilakukan lebih teratur dan tersusun satu persatu

Bagaimana untuk fokus?

Saya kongsikan di bawah 13 Tip untuk Kekal Fokus

13 Tip Kuasa Fokus

1.   Tahu dengan jelas apa yang anda inginkan

Paling penting adalah anda tahu apa sebenarnya yang anda hendak selesaikan. Apa hasil yang anda hendak peroleh dan apa tujuan utama anda melakukan perkara tersebut.

Setelah anda jelas apa dan kenapa anda perlu selesaikan tugasan projek tersebut, maka anda telah membezakan apa yang penting daripada banyak perkara yang tidak penting.

Setelah anda jelas dengan visi, misi dan matlamat anda, maka lebih mudah untuk anda kekal fokus atas apa yang anda lakukan walaupun ada halangan yang muncul, anda tetap yakin apa yang anda lakukan adalah pilihan anda sendiri dan anda yakin akan hasilnya.

2.   Elakkan multi-tasking

Ada perkara yang anda boleh multi-tasking dan ada perkara yang anda perlu FOKUS pada satu perkara sahaja.

Bagi tugasan yang penting, peruntukkan masa khas untuk anda selesaikan SATU tugasan tersebut tanpa melakukan perkara yang lain.

3.   Pecahkan tugasan kepada bahagian yang kecil

Sekiranya tugasan tersebut memerlukan masa yang lama contohnya seminggu. Pecahkan tugasan tersebut kepada beberapa bahagian untuk anda lakukan setiap hari sehingga ia selesai.

Kemudian, anda hanya perlu lakukan tugasan kecil tersebut hingga selesai hari demi hari sehingga selesai.

Dengan ini, anda sebenarnya telah melatih diri anda untuk mencipta 1% kejayaan setiap hari dan bergerak semakin hampir ke sasaran matlamat anda yang sebenar.

4.   Buat satu perkara hingga selesai

Dalam masa 24 jam, peruntukkan masa setiap jam untuk anda melakukan SATU perkara sehingga selesai.

Setiap satu jam untuk satu perkara.

Amalan ini telah saya lakukan dan amat berkesan.

Contohnya

5 – 6 petang : Beriadah

7 – 8 malam : Hadir kuliah maghrib di masjid

9 – 10 malam : Membaca 1 buku

10 – 12 malam : Menulis artikel blog

5.   Hanya fikir SATU perkara sesuatu masa

Fikir hanya pada waktu yang anda seharusnya berfikir hal tersebut.

Contohnya, fikiran saya akan fokus kepada menulis artikel blog pada masa 10 hingga 12 malam. Manakala, pada waktu yang lain, fikiran saya fokus kepada perkara yang lain pula.

Sekiranya ada idea baru yang muncul, saya akan mencatat terlebih dahulu idea tersebut dan akan menggunakannya pada waktu yang telah ditetapkan.

6.   Letakkan jangka masa (time frame)

Sebagaimana saya cadangkan, fikiran saya difokuskan mengikut jam dan mempunyai jangka masa ia disiapkan mengikut minggu.

Anda juga boleh mengkhususkan jangka masa anda sendiri setiap setengah jam dan sebagainya.

Apa yang penting, setiap tugasan atau projek mesti mempunyai anggaran jangka masa ia dapat disiapkan agar dapat anda bergerak kearah projek yang lain pula.

Sekiranya ia boleh disiapkan dalam tempoh 3 hari, kenapa anda perlukan sehingga satu minggu untuk menyiapkannya.

Jadi, anggaran masa selesai adalah penting. Jika perlukan lebih masa, anda bebas untuk melanjutkan lagi masa tersebut selepas ini.

7.   Catat dalam diari atau planner

Sesuatu yang tidak dicatat mudah hilang dan mudah dilupai.

Jadi, sekiranya anda mempunyai pelbagai perancangan, jadual yang padat dan temujanji, sudah tentu ia perlu dicatat dan mempunyai slot masa khas yang diperuntukkan mengikut jam.

Mencatat perkara yang akan dilakukan amat berkesan dalam membantu anda memusatkan fikiran anda untuk fokus kepada perkara yang dicatat sahaja dan mengabaikan perkara lain yang tidak dicatat.

8.   Imaginasi dan visualisasi

Bayangkan anda telah berjaya menyiapkan projek tersebut dan anda telah miliki kelebihan dan hasil daripada projek yang telah anda siapkan.

Imaginasikan dan visualisasikan gambaran kejayaan yang anda peroleh dapat merangsang dan memotivasikan diri anda untuk segera menyiapkan tugasan atau projek yang telah dirancang.

9.   Ceritakan kepada pasangan anda

Bagi yang telah mempunyai pasangan hidup, ceritakan kepada pasangan anda perkara penting yang anda perlu fokus dan siapkan supaya apabila anda terlupa atau terlalai, pasangan anda dapat tolong ingatkan kembali.

10.   Berhenti sabotaj diri sendiri

Ramai yang telah merancang dan membuat jadual, tetapi akhirnya mereka sabotaj diri mereka sendiri dengan melakukan perkara lain yang tidak penting dan memberikan keseronokan yang sementara.

Berhentilah daripada melakukan perkara yang anda tahu ia tidak memberikan manfaat dan keuntungan kepada anda.

Ini kerana, anda mempunyai pilihan untuk mengurus dan mengatur masa anda sendiri.

Jadilah pengurus masa yang bijak dan berhenti daripada memaafkan diri sendiri dengan melakukan perkara yang tidak anda rancang pada awalnya dan tidak mendatangkan sebarang perkembangan (progress).

Jangan bertangguh, bertindaklah sekarang dan mulakan hari ini.

11.   Buatkan ia menyeronokkan

Jadikan tugasan yang anda lakukan sesuatu yang menyeronokkan agar anda lebih bersemangat untuk menyiapkannya.

Sama ada dengan mencuba sesuatu yang baru, menghias tempat kerja anda, menyelitkan dengan rehat dan alunan irama muzik dan sebagainya.

12.   Berikan ganjaran pada diri sendiri setelah anda berjaya

Raikan kejayaan anda menyiapkan tugasan atau projek anda dengan perkara yang anda suka dan idamkan.

Lebih bermakna lagi apabila diraikan bersama pasangan dan ahli keluarga.

13.   Panjatkan kesyukuran dan doa kepada Allah

Mohon doa kepada Allah agar dipermudah segala urusan dan diberkati segala kerja buat yang dilakukan.

Semakin kita bersyukur, semakin banyak Allah akan berikan.

Seterusnya? Tibalah masanya untuk anda fokus kepada tugasan projek yang seterusnya sehingga selesai.

Begitulah seterusnya.

Dengan ini, anda dapat menyiapkan setiap tugasan yang dirancang dengan sebaiknya mengikut perancangan anda dan mengelakkan daripada kata-kata ini “projek ada banyak tapi satu pun tidak dapat disiapkan.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *