The Slight Edge Principle – Berubah itu lebih mudah

The Slight EdgeAssalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Ramai yang ingin lebih berjaya dalam hidup. Mengubah diri menjadi lebih baik dan mencapai impian yang diimpikan.

Tetapi bagaimana caranya ? Tidak lain adalah dengan mencontohi orang-orang yang telah berjaya dalam hidup mereka.

Bagaimana pula ingin mencontohi mereka? Cara pintas ialah dengan menceduk dan mengambil pengalaman orang-orang yang berjaya dengan membaca buku dan hasil tulisan mereka.

Justeru, dalam tulisan kali ini, prinsip kejayaan yang saya ingin kongsikan ialah The Slight Edge Principle :

The little things that we do,

the little choices we make in our lives can and will make a HUGE

impact over time.

Perkara kecil yang kita buat,

pilihan kecil yang kita pilih dalam hidup ini boleh dan akan memberi kesan yang BESAR

seiring dengan peredaran masa.

The Slight Edge Principle ini telah diperkenal oleh Jeff Olson dalam bukunya The Slight Edge.

Prinsip ini tidak lain adalah sama dengan pepatah Melayu “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”.

Sebagai contoh, kita biasa mendengar kisah penoreh getah mampu melaksanakan Haji hasil daripada duit simpanannya yang disimpan sedikit-sedikit selama bertahun-tahun.

Manakala, seorang lelaki yang sentiasa minum minuman manis secara berlebihan akan menghidap penyakit kencing manis juga selepas beberapa tahun.

Asasnya, setiap pilihan kecil yang kita buat (positif atau negatif), akan menjadi besar seiring dengan peredaran masa.

Berubah itu payah?

Setiap orang ingin berubah menjadi lebih baik.

Seorang yang gemuk ingin menjadi kurus. Dia mulai bersenam dan diet untuk beberapa hari dan minggu, tetapi akhirnya dia kembali ke tabiat makan yang asal.

Seorang yang ingin berhenti merokok, bertekad tidak akan merokok tetapi akhirnya kembali ke tabiat yang asal selepas beberapa minggu.

Ya, berubah itu payah pada mulanya, meletihkan pada pertengahan tetapi manis diakhirnya.

Bagaimana ingin berubah?

Mulakan dengan perubahan yang kecil dan mudah.

Pertama, visualisasikan (gambarkan) perubahan yang anda inginkan dalam tempoh masa tertentu.

Kemudian, fikirkan perubahan yang KECIL dan MUDAH untuk anda lakukan setiap hari yang akan memberi kesan “Slight Edge” untuk mencapai target dan gol anda tadi seiring dengan peredaran masa.

Contohnya, saya ingin mengurangkan berat badan 5 kg dalam tempoh 6 minggu.

Kemudian, saya telah fikirkan beberapa perubahan kecil untuk saya lakukan seperti :

  1. Elakkan makanan berlemak ketika sarapan dan makan tengahari. Pilih makanan tinggi protein.
  2. Makan hanya satu pinggan.
  3. Minum air suam sebagai ganti minuman yang manis.
  4. Elakkan makan selepas pukul 8 malam.
  5. Bersenam ringan 10 minit sahaja sehari.

Perubahan kecil di atas amat mudah dan mengambil masa hanya beberapa minit sehari. Ia sama sekali tidak membebankan. Tetapi hasilnya amat memberangsangkan.

Kejayaan Besar Bermula Dengan Kejayaan Kecil

Baby stepRamai yang ingin kaya dan menjadi jutawan dalam sekelip mata. Tetapi, mustahil untuk kaya atau berjaya dalam sekelip mata.

Seorang bayi perlu meniarap, merangkak dan bertatih untuk berjalan sehinggalah dia boleh berjalan dengan baik.

Setiap perubahan perlukan langkah yang kecil dan dilakukan berterusan.

Perkara yang seringkali menghalang kita untuk berubah adalah bebanan yang kita letakkan.

Kita ingin terus menghabiskan buku yang kita baca, dan membaca beberapa bab setiap hari. Tetapi akhirnya kita tidak dapat menghabiskannya kerana kita rasa terbeban untuk membaca dengan banyak.

Sebaliknya, jika kita membaca hanya 5 muka surat buku setiap hari, kita akan dapat menghabiskan buku tersebut dalam sebulan.

Kesimpulan

Jadi, apakah perubahan KECIL yang mampu kita lakukan hari ini untuk mencapai impian dan matlamat yang kita inginkan?

Senaraikan pilihan yang MUDAH, KECIL dan TIDAK membebankan tetapi seiring dengan perubahan masa ia akan memberi kesan BESAR dan membawa PERUBAHAN yang kita inginkan. InsyaAllah berubah itu mudah, dan tidak lagi menjadi sepayah yang kita jangkakan. 🙂

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *