Urus Masa Untuk Mengurus Kehidupan

Tips mengurus masaMasa atau waktu adalah cukup sinonim dalam kehidupan kita. Setiap hari kita dibekalkan jumlah masa yang sama 24 jam. Apa yang membezakan orang yang berjaya dengan orang yang rugi adalah cara mereka menguruskan masa mereka seharian.

Untuk berjaya, kita perlu mencontohi bagaimana orang yang berjaya mengatur dan menguruskan masa mereka. Walaupun kelihatan mereka sibuk dengan pelbagai tugasan, tetapi mereka masih lagi dapat menguruskan dan menyempurnakan setiap perkara yang telah dirancang.

Sifat Dan Ciri-Ciri Masa

Tak kenal maka tak cinta. Begitulah juga bagi masa. Hanya orang yang mengenali betapa berharganya masa akan memanfaatkan setiap saat masa yang ada. Sebaliknya, orang yang tidak betul-betul mengenali sifat dan ciri-ciri masa, mereka akan mensia-siakan masa yang ada tanpa rasa menyesal.

Masa adalah makhluk Allah Taala yang sentiasa bergerak, berlalu dengan begitu cepat dan tidak akan kembali lagi sehingga hari kiamat. Masa tidak dapat ditambah, dikurang atau diberhentikan. Ia adalah harta yang paling bernilai yang tidak dapat ditandingi oleh emas atau berlian. Ia sekali-kali tidak boleh dijual beli kerana masa adalah kehidupan.

Hasan al-basri pernah berkata : “Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah himpunan beberapa hari, apabila berlalu pergi sebahagian hari maka sebahagian dari diri kamu juga berlalu pergi.”

Masa juga umpama sebilah pedang, sekiranya kita tidak memotongnya, ia terlebih dahulu akan memotong kita. Oleh itu, berbahagialah orang yang mengenali betapa berharganya nikmat masa yang Allah Taala kurniakan kepadanya.

Jauhi Pencuri Masa

Pencuri masa adalah aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa dan tidak mendatangkan faedah. Ia perlu dijauhi agar masa kita yang berharga tidak berlalu begitu sahaja.

Antara pencuri masa ialah melakukan perkara harus seperti menonton wayang, bermain dam, catur, membeli belah, atau keluar bersiar-siar dengan rakan-rakan tanpa menghadkan jangka masa waktu yang tertentu. Ada juga yang leka menonton televisyen, menjawab panggilan telefon, sms, chatting, facebook atau membaca surat khabar sehingga berjam-jam lamanya.

Walaupun perkara di atas adalah harus, ia boleh melalaikan sekiranya melebihi daripada jangka masa yang sepatutnya.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W  bermaksud : “Dua nikmat dari nikmat Allah Taala yang ramai manusia terpedaya dengannya iaitu nikmat sihat dan kelapangan.”

4 Pembahagian Masa Dalam Kehidupan

Bagi mengelakkan kita menjadi orang yang rugi, kita perlu merancang, mengatur dan membahagikan masa yang kita ada dengan sebaiknya.

Sediakan waktu kita untuk 4 perkara :

  1. Bermunajat kepada tuhan
  2. Waktu untuk muhasabah diri atas apa yang telah dilakukan
  3. Waktu untuk bertafakur dan melihat ciptaan dan kejadian makhluk Allah Taala
  4. Waktu untuk berfikir dan berusaha mencari rezeki untuk diri dan keluarga

Cara Hidup Muslim Cemerlang

Dalam mengatur jadual kehidupan kita, eloklah kita mencontohi para ulama dan salafussoleh dalam mengatur kehidupan mereka. Antara amalan muslim cemerlang ialah :

  1. Bangun awal pagi sebelum waktu Subuh
  2. Berdoa tanda syukur pada Allah masih lagi diberikan peluang untuk hidup pada hari ini
  3. Solat sunat sebelum Subuh (lebih berharga daripada dunia dan seisinya – maksud hadis) dan solat Subuh berjemaah
  4. Melakukan solat sunat Dhuha, berzikir (mathsurat) dan membaca surah Yassin (memudahkan urusan kita seharian)
  5. Keluar mencari rezeki seawal pagi kerana pintu rezeki dibuka ketika ini dan diberkati
  6. Berehat atau tidur sebentar sebelum Zohor
  7. Makan dengan secukupnya dan tidak berlebihan
  8. Solat berjemaah dan solat di awal waktu
  9. Membaca dan mengamalkan surah Al-Waqiah setiap malam
  10. Tidur awal untuk bangun di awal pagi berqiamullail

 Tips Rancang Waktu Untuk Merancang Kehidupan

  1. Perincikan setiap waktu dan jam dalam sehari – Tulis setiap perkara yang kita ingin lakukan pada setiap jam.
  2. Bahagikan waktu dengan sebaiknya untuk waktu bekerja, berehat, bersama keluarga, riadah, beribadat dan sebagainya.
  3. Tetapkan 3 perkara yang wajib dilakukan pada hari ini untuk kita lebih produktif.
  4. Tulis senarai Mesti Buat dan Senarai Jangan Buat (To Do List and Not To Do List).to-do-list
  5. Bersegera dalam membuat kebaikan, jauhi sikap bertangguh.
  6. Muhasabah setiap hari sebelum tidur dan merancang perkara yang akan dilakukan esok hari.
  7. Letakkan prioriti dalam setiap perkara yang dirancang berdasarkan matlamat dan hasil yang akan kita peroleh iaitu:
  • Segera dan penting
  • Tidak segera dan penting
  • Segera dan tidak penting
  • Tidak segera dan tidak penting

4 Pembahagian MasaTip : Letakkan bintang atau labelkan bagi perkara yang segera dan penting.

Semoga kita berjaya mengurus dan mengatur masa kita sebaiknya. Masa kita adalah kehidupan kita. Mengurus masa bererti mengurus kehidupan kita di dunia untuk bekal hidup di akhirat kelak.

“Beramallah kamu untuk dunia kamu seolah-olah kamu akan terus hidup selamanya, dan beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati besok.”

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud : “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara : Masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum datang masa sakit, masa senang sebelum masa susah, masa lapang sebelum masa sibuk, serta masa hidup sebelum datang kematian.” ~ Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain :7957

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *