Assalamualaikum w.b.t
Tahun ini dan tahun-tahun berikutnya adalah amat mencabar terutamanya dari segi pengurusan kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Inilah realiti yang kita sedang hadapi, bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia. Jadi, apakah tindakan dan pilihan kita untuk menghadapi situasi ini.
Apa pilihan kita?
PILIHAN 1 : Kekal seperti biasa. Bekerja seperti biasa dan mengawal perbelanjaan keluarga mengikut kemampuan.
PILIHAN 2 : Mula merancang melakukan sesuatu. Mencari peluang menambah pendapatan tambahan, sama ada dengan kerja tambahan atau mula berniaga separuh masa online atau offline.
Mula mengurus kewangan dengan teratur, menabung dan belajar tip mengurus kewangan dengan lebih baik. Sentiasa belajar selok-belok ilmu perniagaan dan tidak mudah berputus asa.
Belajar ilmu pelaburan dan mula merancang pelaburan untuk menggandakan pendapatan bagi jangka masa panjang dengan pelaburan emas, pelaburan hartanah, pelaburan saham dan lain-lain.
Pilihan anda?
Setiap orang berhak memilih tindakan masing-masing. Dan pilihan yang dibuat inilah yang akan menentukan tindakan yang akan kita lakukan dan juga hasil yang kita akan peroleh.
Memilih untuk melakukan sesuatu bermanfaat atau memilih berehat menonton televisyen sepanjang malam. Memilih berjimat cermat atau memilih boros dan membazir. Memilih hidup seperti biasa atau memilih hidup luar biasa dengan melakukan sesuatu. Semuanya adalah pilihan masing-masing.
5 Tip Mengubah Kewangan
- Pilih untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain.
- Tambah ilmu yang berkaitan – ilmu perniagaan, ilmu pemasaran, ilmu pengurusan kewangan dan sebagainya. Banyakkan membaca, menghadiri bengkel, majlis ilmu, kursus, seminar dan sebagainya. Dengan ilmu, minda menjadi berkembang dan dapat melihat sesuatu masalah sebagai peluang untuk menjadi lebih baik.
- Tambah usaha bersungguh-sungguh – lakukan sesuatu, buat sesuatu yang boleh memberikan pendapatan dan hasil. Ramai yang berkata, saya telah berusaha banyak cara tapi tidak berjaya. Persoalannya, adakah kita sentiasa belajar dan menambah ilmu berkaitan perniagaan? Dan adakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan mengamalkan sepenuhnya setiap ilmu yang telah dipelajari?
- Sabar, doa dan solat – bukanlah kekayaan dan kejayaan itu hanya sekelip mata dalam sehari. Tetapi, ia dibina perlahan-lahan, tindakan sedikit demi sedikit setiap hari dengan penuh kesabaran, doa dan usaha berterusan. Iringi setiap usaha dengan cara hidup yang berkat, dan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.
- Yakin dengan janji dan bantuan Allah kepada mereka yang berusaha bekerja dan berjihad mencari rezeki yang halal dan berkat. Siapa berusaha, dia akan dapat. Bersama-sama kesusahan akan ada kesenangan.
Semoga tindakan yang betul kita lakukan hari ini, dapat memberikan hasil dan keuntungan buat kita pada masa hadapan di dunia dan di akhirat.
“Jalan kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan akan dapat dikecapi dengan terlebih dahulu melalui jalan kesusahan, kepayahan, keperitan, tangisan dan pengorbanan.” – Zulpress
Moga kita kaya berjaya dunia akhirat. Amin.
tips yg bagus.. semasa krisis ekonomi ni..banyak peluang yg kita boleh lakukan untuk tambah pendapatan.
kena ubah cara hidup kita dengan lebih baik