21 Ciri & Tabiat Blogger Berjaya (Bahagian 1)

21 Karakter Blogger BerjayaAssalamualaikum w.b.t

Saya tertarik untuk berkongsi 21 ciri dan tabiat blogger yang berjaya dalam blogging hasil tulisan Kevin Muldoon, seorang blogger dan penulis bebas.

Beliau telah meletakkan 21 ciri-ciri karakter seorang blogger berjaya yang membezakan mereka dengan blogger yang lain.

Ini kerana, ramai yang memiliki blog, tetapi bukan mudah untuk menjadi penulis blog yang berjaya dalam erti kata blog yang menjadi rujukan dalam niche atau topik yang dipilih.

21 Ciri dan Tabiat Blogger Berjaya

1.   Mereka melayan blog seperti satu bisnes

Bagi blogger yang berjaya, blog mereka adalah seumpama bisnes mereka. Bermaksud ia adalah keutamaan dan prioriti mereka.

Mereka sentiasa bekerja keras untuk menjadikan blog mereka antara yang terbaik. Blog mereka juga mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

Bagi mereka, menulis di blog bukan sekadar hobi di waktu lapang. Ini kerana, sekiranya ia dianggap sebagai hobi, maka hasil yang diperoleh adalah sekadar ‘hobi’. Sebaliknya, blog mereka umpama bisnes yang mampu memberikan keuntungan kepada mereka.

2.   Mereka konsisten membuat posting artikel terbaru

Pada awal blogging, adalah menjadi kebiasaan seorang blogger itu bersemangat tinggi untuk mengemaskini blog mereka dengan menerbitkan artikel baru hampir setiap hari.

Namun, selang beberapa waktu, semangat yang tinggi tadi beransur hilang dan penulisan artikel menjadi tidak konsisten dan ada yang sudah tidak menulis lagi di blog mereka untuk jangka masa yang lama.

Sebaliknya, blogger yang berjaya sentiasa kekal dan konsisten menulis di blog mereka dengan menerbitkan artikel terbaru mengikut kekerapan yang mereka tentukan sendiri bergantung kepada keupayaan dan masa yang ada.

Tidak bermaksud perlu menerbitkan artikel setiap hari atau selang dua hari, ia bergantung kepada diri anda sendiri sama ada 3 kali seminggu atau sebagainya. Paling penting adalah blog sentiasa dikemaskini. Jika tidak , pembaca setia blog akan ternanti-nanti artikel yang baru dan mungkin semakin berkurang.

3.   Mereka bermotivasi tinggi

Komitmen untuk menulis memerlukan blogger bermotivasi tinggi. Jika tidak, blogger akan seringkali menunda untuk menulis artikel terbaru dan akhirnya susah untuk kembali menulis dengan konsisten.

Oleh sebab itu, amat penting blogger mengetahui kenapa mereka menulis? Why? Agar motivasi menulis dapat ditingkatkan kembali.

Carilah bagaimana teknik untuk meningkatkan motivasi untuk menulis artikel kerana ia berbeza bagi setiap individu.

Apabila anda telah temui faktor utama kenapa anda perlu terus menulis, anda akan bersemangat kembali dan bertenaga untuk terus menulis dengan konsisten.

4.   Mereka bangga dengan kerja yang mereka lakukan

Kebanyakan blogger adalah yang masih bekerja dan menulis di blog pada waktu malam atau pada waktu lapang.

Mereka sanggup berkorban untuk membuat kajian, membaca dan menulis di blog mereka sedangkan pada waktu yang sama sahabat mereka yang lain sedang berehat dan bersantai.

Ini kerana mereka bangga dengan kerja yang mereka lakukan. Mereka yakin dan percaya untuk mendapatkan hasil yang terbaik mereka perlu melakukan yang terbaik.

Mereka memastikan setiap artikel yang bakal diterbitkan betul dari segi ejaan, tata bahasa dan isi kandungan yang memberi manfaat kepada pembaca blog mereka.

5.   Mereka selalu membuat analisis

Blogger yang berjaya merekodkan setiap perbelanjaan blog dan keuntungan yang mereka peroleh.

Mereka merancang bagaimana mereka mengurus masa dan melakukan promosi blog mereka, memberi komen di blog yang lain, membaca dan membuat kajian.

Selain itu, mereka melakukan kajian terhadap pembaca blog mereka dan kata kunci (keyword) yang mereka gunakan.

Mereka juga memantau statistik pelawat blog mereka dan bagaimana dapat mereka tingkatkan lagi bilangannya.

6.   Mereka mengenal pembaca

Blogger yang berjaya menulis berdasarkan topik mereka. Mereka mengenal dan mengetahui apa maklumat yang pembaca mereka  mahukan.

Mereka menulis mengikut topik niche mereka sama ada untuk pembaca awal (beginner), pertengahan atau pembaca yang sudah pakar dalam topik tersebut.

Mereka menulis untuk pembaca dan bukan untuk SEO atau enjin carian.

7.   Mereka sentiasa berinteraksi dengan pembaca

Blogger yang berjaya sentiasa memperuntukkan masa mereka untuk berinteraksi denga pembaca blog mereka melalui komen, soalan yang diajukan atau di media sosial.

Mereka menjaga hubungan mereka agar pembaca blog mereka dapat merasai “kehadiran” mereka.

Ikuti sambungan seterusnya… 21 Ciri dan Tabiat Blogger Berjaya Bahagian 2

Semoga bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *