Panduan Lengkap : Bagaimana Memilih Syarikat dan Pakej Hosting Terbaik

Panduan Memilih Web Hosting

Susulan daripada artikel sebelum ini, saya akan berkongsi lebih lanjut berkaitan bagaimana membeli pakej hosting terbaik dan apa yang perlu anda lakukan sebelum itu.

Syarikat hosting manakah yang perlu anda pilih?

Soalan ini adalah soalan wajib bagi jika anda sedang merancang untuk memiliki domain dan hosting sendiri. Iaitu bagaimana memilih syarikat hosting yang terbaik untuk jangka masa panjang.

Kini terdapat banyak syarikat penyedia hosting sama ada di peringkat tempatan di dalam negara kita atau syarikat penyedia hosting di luar negara.

Namun, persoalannya yang mana satukah perlu anda pilih?

Pilihan yang tepat akan memudahkan urusan anda di kemudian hari. Jika tersalah pilih, anda mungkin perlu membayar harga yang lebih untuk manfaat yang sedikit atau menukar syarikat hosting yang lain kerana kesilapan anda memilih perkhidmatan hosting yang sesuai dan terbaik.

Perkara ini amat jarang dibincangkan. Namun saya rasakan ia perlu diterangkan lebih terperinci untuk manfaat dan panduan sesiapa yang mungkin baru pertama kali ingin memilih syarikat hosting yang sesuai.

Syarikat hosting tempatan atau luar negara?

Terpulang kepada anda untuk memilih sama ada menggunakan syarikat penyedia hosting tempatan atau luar  negara asalkan syarikat tersebut menepati 5 tip memilih hosting terbaik dalam artikel sebelum ini.

Ini kerana, kedua-dua syarikat hosting tempatan atau luar negara mempunyai kelebihan tersendiri.

Syarikat hosting tempatan

Syarikat hosting tempatan sudah tentu beroperasi di negara kita sendiri.

Dari segi perhubungan, sekiranya anda memerlukan bantuan atau pertanyaan, ia adalah lebih mudah kerana anda boleh menggunakan Bahasa Melayu sahaja berbanding Bahasa Inggeris.

Dari segi bayaran pula, bayaran pakej hosting boleh dibuat melalui akaun bank tempatan dalam matawang negara iaitu RM bagi Malaysia.

Pakej hosting yang disediakan adalah lebih kepada kemampuan dan keadaan semasa rakyat tempatan di mana anda ditawarkan pelbagai harga bermula daripada pakej asas, ekonomi dan lebih tinggi lagi mengikut ciri-ciri tambahan yang ditawarkan.

Pilihan bayaran pula adalah secara tahunan. Manakala bagi pakej advance, biasanya pilihan bayaran bulanan atau tahunan akan digunakan.

Terdapat banyak penyedia hosting tempatan. Namun, saya tidak akan senaraikan di sini kerana sehingga kini saya hanya menggunakan hosting NetKL sahaja dan saya amat berpuas hati dengan servis dan sokongan pelanggan yang ditawarkan.

Jika anda ingin membuat kajian lanjut, anda boleh search di Google dengan mencari senarai web hosting di Malaysia dan mencari review berkaitan syarikat penyedia hosting yang anda inginkan.

Syarikat hosting luar negara

Syarikat hosting luar negara berpengkalan di luar Malaysia seperti di Amerika Syarikat. Bahasa perhubungan yang digunakan biasanya dalam Bahasa Inggeris.

Dari segi bayaran pula, bayaran bagi pakej hosting boleh dibuat melalui Paypal atau melalui kad kredit anda dalam USD.

Terdapat terlalu banyak syarikat penyedia hosting di luar negara ini, namun saya hanya sarankan anda memilih Top 10 sahaja (anda boleh search Top10 hosting di Google) .

Mengikut pembacaan dan kajian saya melalui blog tempatan dan juga blog luar negara, syarikat hosting yang terkenal dan amat dicadangkan daripada Top 10 ini adalah syarikat penyedia hosting Hostgator dan Bluehost.

Pakej hosting luar negara mempunyai kelebihan tersendiri di mana pakej yang ditawarkan biasanya adalah tiada had atau “unlimited” dari segi unlimited disk space, unlimited bandwith dan ada juga unlimited domain.

Namun, perlu difahami istilah “unlimited” juga adalah sebahagian daripada strategi perniagaan mereka.

Ia adalah benar. Cuma perlu diketahui bahawa anda sebenarnya masih berkongsi dengan ramai lagi pengguna lain di dalam sesuatu server tersebut dan sudah pasti ia masih mempunyai hadnya yang tersendiri lebih-lebih lagi apabila ramai yang menggunakan kelebihan unlimited ini.

Dengan kelebihan unlimited ini, maka sudah pasti bayarannya sedikit tinggi daripada penyedia hosting tempatan.

Terdapat pelbagai pakej harga yang ditawarkan dan bayaran pula biasanya dibuat secara bulanan supaya tidak membebankan pengguna.

Sesetengah syarikat hosting seperti Hostgator menawarkan pakej harga pada kadar diskaun bagi bulan yang pertama anda mendaftar dan kembali kepada harga asal pada bulan seterusnya mengikut pakej yang anda pilih.

Oleh itu, amat penting  untuk anda mengetahui harga asal bagi pakej yang anda pilih dan bukannya sekadar harga diskaun pada bulan pertama.

Bayaran secara bulanan atau tahunan?

Sekarang anda perlu mempertimbangkan bayaran bulanan atau tahunan.

Jika anda memilih pakej hosting tempatan, maka ia tiada masalah buat anda kerana hanya perlu memperuntukkan sekitar RM 60 ke atas mengikut pakej yang anda pilih setiap tahun.

Bagi pakej luar negara, kebiasaannya bayaran dikira secara bulanan. Perhatikan huraian ringkas bagi contoh di bawah.

Contoh Kajian di Hostgator

Pakej hosting Hostgator

Contohnya, pakej Hatchling Plan pada harga bermula $3.96 pada bulan pertama = RM 11.88 sebulan (pada kadar anggaran $1 bersamaan RM3).  Namun,ingat, ia hanyalah harga untuk bulan pertama sahaja. Bulan seterusnya anda akan dicaj kepada harga asal mengikut pelan yang ditetapkan.

Bagi saya, Pakej Hatchling Plan tidak berbaloi kerana hanya 1 domain sahaja yang dibenarkan walaupun anda ditawarkan unlimited bandwidth dan diskspace. Berbanding pakej Baby Plan, ia amat berbaloi jika anda sememangnya bercadang memiliki lebih dari 1 domain (unlimited domain) pada kadar bermula $6.36 = RM 19.08 pada bulan pertama. Caj akan kembali kepada harga asal mengikut pelan yang telah ditetapkan.

Oleh itu, pastikan anda memahami terlebih dahulu pelan yang anda ingin pilih dan berapakah bayaran bulanan yang perlu anda laburkan. Sebagai persediaan kewangan, anda juga perlu mengira berapakah bayaran yang diperlukan bagi tempoh setahun.

Anda boleh bertanya lanjut kepada operator di syarikat hosting tersebut sekiranya anda memerlukan bantuan lanjut. Gunakan fungsi support ticket, emel atau fungsi chat yang disediakan.

Contoh Kajian di BlueHost

Begitu juga dengan pakej Bluehost, anda perlu memahami berapakah harga yang ditawarkan. Adakah harga tersebut tetap atau merupakan harga permulaan sahaja.

Nota : Setiap harga yang dipaparkan adalah benar pada tarikh artikel ini. Ia tertakluk kepada perubahan syarikat terbabit di laman web mereka.

Paling penting,anda perlu mengira terlebih dahulu berapakah harga bagi setahun setiap pakej yang anda pilih dan bandingkan dengan tawaran syarikat hosting tempatan atau luar negara yang lain.

Kemudian lihat kemampuan bajet kewangan anda.

Pakej hosting manakah yang perlu anda pilih?

Seterusnya adalah masa untuk anda memilih pakej yang sesuai. Setiap syarikat hosting menyediakan beberapa pakej daripada pakej asas sehingga ke lebih tinggi. Setiap pakej mempunyai harga yang berbeza mengikut ciri-ciri yang ditawarkan.

Tip daripada saya ialah pastikan anda telah berfikir untuk jangka masa panjang 2-3 tahun ke hadapan.

Pengguna Biasa – 1 / 2 Domain

Jika anda sememangnya hanya ingin menggunakan hosting untuk satu domain sahaja dan tidak bercadang untuk memiliki nama domain yang lain, maka saya cadangkan anda hanya memilih pakej asas atau basic bagi hosting tempatan pada harga dalam RM60-80 sahaja.

Tidak perlu untuk anda mengambil pakej hosting luar negara kerana dalam tempoh setahun anda akan membayar lebih daripada RM 100 ke atas (bulanan lebih kurang RM10 ke atas) hanya untuk satu atau dua domain.  Walaupun jumlah bandwith dan disk space yang berbeza, anda sebenarnya tidak perlukan pilihan “unlimited” kerana buat permulaan anda hanya perlukan 100-400 MB disk space dan storage 5-7 GB.

Jadi, kenapa perlu membayar lebih untuk pilihan unlimited jika anda hanya ingin menggunakan satu atau dua domain sahaja dan sekadar menggunakan sejumlah kecil bandwith dan disk space sahaja? Sedangkan pada waktu yang sama, anda masih lagi mempunyai pilihan yang luas untuk menambah (upgrade) bila-bila masa sahaja pakej yang anda ambil apabila anda benar-benar perlukannya kelak.

Pengguna Advance – Lebih daripada 3 domain ke atas

Berbeza pula sekiranya anda memang bercadang untuk memiliki domain yang banyak, atau melibatkan penggunaan bandwith dan disk space (data storage) yang besar, maka pakej hosting advance atau unlimited adalah mungkin pilihan sesuai untuk anda.

Anda boleh memilih sama ada memilih pakej advance bagi syarikat hosting dalam negara atau pilihan unlimited bagi penyedia hosting luar negara seperti HostGator, Bluehost dan sebagainya.

Ringkasnya, anda perlu merancang dan berfikir untuk jangka masa panjang mengikut tujuan anda membeli hosting dan sejauh mana penggunaannya kelak.

Untuk rujukan lanjut, anda boleh membuat perbandingan harga dan melihat review pelanggan syarikat hosting yang dipilih, bertanya di forum, merujuk orang yang berpengalaman atau search perkara berkaitan di Google.

Kesimpulan

Kesimpulannya, membeli dan memilih pakej hosting bukanlah sesuatu yang terlalu sukar dan boleh menyusahkan anda. Anda hanya perlu membuat sedikit kajian sebelum membeli pakej hosting yang terbaik.

Perkara paling penting dalam membuat pilihan adalah memilih syarikat hosting yang diyakini ramai dan mempunyai sokongan pelanggan (customer support) yang baik, bukan semata-mata pada pakej harga yang murah.

Ini kerana anda bakal bersama syarikat tersebut untuk beberapa tahun seterusnya dan sudah pasti memerlukan bantuan mereka sepanjang masa tersebut.

Kata kuncinya ialah :

Syarikat penyedia hosting – buat kajian syarikat hosting yang dipilih, pastikan ia dipercayai dan diyakini orang ramai, memiliki prestasi yang baik, mendapat review pelanggan yang baik, servis dan sokongan pelanggan (customer support) yang cepat dan mesra pelanggan, mempunyai pakej lengkap, dan pemantauan server uptime yang tinggi.

Pakej hosting – pilih pakej hosting yang sesuai dengan tahap penggunaan anda (asas/advance atau unlimited) , pakej yang  lengkap dengan ciri-ciri standard, pilih pakej bayaran bulanan/tahunan mengikut kemampuan kewangan anda. Tip tambahan : Gunakan kupon untuk mendapatkan potongan diskaun (jika ada- anda boleh search di Google untuk melihat kupon diskaun bagi hosting terlibat).

Sekarang, anda mungkin sudah mempunyai jawapan tersendiri bagi soalan di bawah.

Syarikat hosting tempatan atau luarnegara  :

Nama syarikat penyedia hosting:

Pakej/Ciri-ciri:

Jumlah Bayaran (bulanan/tahunan):

Semoga apa yang saya kongsikan daripada pengalaman dan pembacaan saya ini dapat membantu anda membuat pilihan syarikat hosting dan pakej hosting yang terbaik.

Jika anda mempunyai pandangan, sila kongsikan bersama saya pandangan anda di bawah. 🙂

Kredit Imej : www.greatnet.de

2 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *