6 Tip Mengurus Wang – Elak Kebocoran Wang

warren buffet tip duitAssalamualaikum w.b.t

Wang adalah salah satu elemen penting di dalam hidup ini. Oleh itu, wang perlu dijaga dan tidak dibazirkan.

Sebagaimana air dan elektrik yang tidak seharusnya dibazirkan, wang adalah lebih perlu dijaga dan dikawal dengan sebaiknya.

Ramai yang gaji masuk ke akaunnya dengan jumlah yang besar dan banyak, tapi jumlah yang keluar juga besar dan banyak. Sehingga tidak banyak yang dapat disimpan. Bahkan, ada juga yang tidak cukup pula sehingga terpaksa berhutang.

Kenapa ini berlaku?

Ia adalah kesan daripada penjagaan dan kawalan kita dengan wang yang tidak betul.

Apabila salah dalam mengurus wang, maka wang akan dibazirkan bahkan tidak akan dapat dikesan alirannya, ke mana ia dihabiskan.

6 Tip Mengurus Wang – Elak Kebocoran Wang

  1. Ukur baju di badan sendiri – hidup ikut kemampuan

Tip ini adalah paling asas. Jika gaji kita, RM 2000 ke bawah, maka hiduplah di dalam lingkungan ini. Asingkan 10% untuk simpanan. Dan selebihnya, gunakan wang tersebut untuk membeli apa yang kita perlukan sahaja.

Jangan membandingkan diri kita dengan melihat mereka yang bergaji RM 5000, mereka boleh membeli lebih banyak kerana jumlah wang mereka yang lebih. Kereta yang dipakai pun sudah pasti berbeza.

Oleh itu, hiduplah ikut kemampuan, bukan kerana tidak mampu, tetapi dalam usaha mencapai mampu.

  1. Pastikan ada SIMPANAN 10%

Walau banyak atau sedikit wang yang diperoleh, maka pastikan simpanan tetap ada. Iaitu dicadangkan sebanyak 10%.

Walaupun sedikit, amalkan amalan menyimpan dan menabung ini. Barang yang sedikit, apabila dikumpul berterusan akan menjadi banyak.

Jangan dipandang rendah pada kuasa ‘the power of accumulation’ atau juga dipanggil ‘the compound effect’.

Mereka yang menoreh getah, yang menyimpan sedikit demi sedikit akhirnya dapat menunaikan haji dan umrah. Lalu bagaimana pula, mereka yang bergaji besar tapi masih belum mampu menyimpan?

  1. Gandakan usaha

Rezeki sudah ditentukan Allah jumlahnya. Namun, ia adalah perkara ghaib yang kita tidak ketahui dimanakah rezeki kita, berapakah jumlahnya dan sebagainya.

Justeru, di sinilah hikmahnya kita dituntut berusaha mencari rezeki dengan bersungguh-sungguh. Amalkan amalan menjemput rezeki, dan pada masa yang sama kita berusaha menggandakan usaha mencari pendapatan tambahan, pendapatan sampingan dan pendapatan pasif yang dapat kita lakukan.

Ini kerana, Allah telah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang berusaha mencari rezeki yang halal untuk menyara anak keluarga.

  1. Bersyukur dengan apa yang telah dimiliki

Syukur menambah rezeki. Lebih banyak kita bersyukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada manusia, rezeki kita akan dijanjikan Allah bertambah lagi dan semakin berganda.

Hidup akan penuh dengan kerungsingan dengan melihat apa yang tidak dimiliki. Sebaliknya, ketenangan dan kebahagiaan akan hadir apabila melihat apa yang telah kita miliki dan bersyukur dengannya.

  1. Elakkan berhutang

Salah satu punca kebocoran wang yang utama adalah pada membayar hutang. Bayangkan, jika kita tidak berhutang dengan bank, kad kredit, orang lain dan sebagainya, kita sudah tidak perlu membayar ansuran bulanan yang banyak.

Hidup juga menjadi lebih aman apabila tidak dibebani dengan hutang. Wang gaji yang diperoleh pula boleh disimpan dan dilaburkan.

Namun, saya juga sedar, kadangkala kita terpaksa berhutang seperti hutang belajar seperti PTPTN, hutang untuk berkahwin dan sebagainya.

Tapi, apa yang penting, elakkan dari menambah hutang yang telah sedia ada. Gunakan cash dalam pembelian. Beli apa yang perlu dan penting sahaja. Jika tidak cukup wang, berusahalah mencari pendapatan tambahan kerana sebolehnya kita mahu mengelakkan diri daripada berhutang.

Cuba hidup dalam lingkungan kemampuan kita sendiri. Insya-Allah, hutang yang ada dapat dilangsaikan satu persatu dan tiada lagi hutang yang baru.

  1. Bersedekah dan menolong orang lain

Aliran wang yang betul akan memberi manfaat kepada kita. Dengan bersedekah, harta kita pada hakikatnya tidak sesekali berkurang, sebaliknya akan bertambah. Tiada orang yang menjadi miskin dengan bersedekah. Sebaliknya menjadi bertambah kaya.

Justeru, amalkan bersedekah dengan ikhlas kerana Allah. Banyakkan membantu orang lain dan mendoakan kebaikan kepada orang lain.

Insya-Allah, dengan sedekah dan doa yang kita doakan kepada orang lain, akan turut kembali kepada kita dalam bentuk yang lebih baik.

Inilah antara 6 tip yang dapat saya kongsikan. Semoga ia memberi manfaat dan dapat kita amalkan. Insya-Allah.

4 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *