5 Rahsia Hidup Potensi Sebenar

potensi sebenarAssalamualaikum w.b.t

Hidup biasa-biasa atau hidup pada potensi sebenar anda adalah satu pilihan. Setiap hari yang kita lalui adalah sama ada berlaku pada potensi sebenar, potensi biasa atau lebih rendah daripada potensi sebenar kita.

Sebagaimana dalam bola sepak, kadangkala para pemain bermain pada potensi sebenar dan ada juga pada suatu ketika mereka bermain di bawah potensi sebenar mereka.

Begitu juga dalam hidup kita setiap hari. Apakah kita dengan rela hati ber’main’ biasa-biasa atau kita memilih untuk ber’main’ pada potensi sebenar kita. Ia adalah terpulang kepada pilihan masing-masing.

Hidup terlalu singkat

Mentor saya selalu berpesan bahawa kita akan mendapat hasil mengikut apa yang kita lakukan. Sekiranya perkara sama yang kita lakukan setiap hari, maka kita akan mendapat hasil yang sama. Untuk mendapat hasil yang berbeza, kita perlu mula melakukan sesuatu yang berbeza.

Hidup ini terlalu singkat untuk terpesona dan lalai dengan kehidupan. Sama ada membazir masa, membazir tenaga, membazir fikiran, membazir wang dan sebagainya.

Namun, realitinya, ramai yang suka dengan hiburan yang melalaikan, membazir masa berjam-jam menonton televisyen, berFacebook dan sibuk dengan aktiviti yang sebenarnya mereka tahu ia adalah tidak penting.

Saya selalu mengulangi kata-kata mentor saya, “Life is too short to play small”. Maksudnya, “Hidup ini terlalu singkat untuk ber’main’ biasa-biasa.”

Sedangkan kita tahu, hidup di dunia adalah ujian sebenar. Setiap masa dan umur kita yang berlalu adalah masa dan umur kita yang sebenar. Ia adalah ‘perlawanan sebenar’. Bukannya ‘perlawanan persahabatan’ atau sekadar latihan regangan.

Bagaimanakah keadaan yang kita mahukan di saat kita meninggalkan dunia ini? Apakah pada ketika itu kita sudah puas hati meninggalkan dunia ini dengan membawa bekal secukupnya atau apakah di saat itu kita akan menyesal kerana terlupa membawa dan menyediakan bekal bagi kehidupan kekal di akhirat kelak.

Justeru, marilah kita sama-sama mula serius dengan tujuan kehidupan ini. Hidup adalah tempat kita berusaha dan bercucuk tanam membawa bekal dan amalan takwa bagi hasil yang akan dituai di akhirat kelak. Semoga kita tidak lupa akan tujuan kita datang, jika tidak akan sesatlah dalam perjalanan.

5 Rahsia Hidup Potensi Sebenar

 1.   Mengawal dan mencuci hati

Hati adalah raja. Apabila baik jantung hati, maka baiklah amalan. Apabila rosak hati, maka rosaklah segala amalan.

Ramai yang mengabaikan kebersihan hati. Sebaliknya, mengutamakan kecantikan dan kebersihan wajah luaran sahaja. Mereka mencuci muka 5 kali sehari, tetapi hati terlupa untuk di’cuci’.

Hati yang tenang adalah hati yang kenyang dengan ilmu bermanfaat, amal ibadah dan petunjuk cahaya daripada Allah. Hadirlah selalu ke masjid, rumah Allah. Nescaya hati akan menjadi hidup dan sihat.

Sebaliknya, dosa dan maksiat akan mengotori hati dan mendatangkan keresahan dan kegelisahan. Rasa putus asa, rasa takut dan bimbang berkaitan rezeki dan pelbagai masalah yang menimpa adalah kesan daripada hati yang kotor dan sakit.

Justeru, dekatkan hati kepada Allah dengan selalu mengingati-Nya. Nescaya kita akan mula berada pada potensi sebenar dalaman dan luaran diri kita.

2.   Mengawal tenaga dalam diri

Dalam diri kita mempunyai tenaga yang tersembunyi. Ia adalah tenaga yang mendorong kita bertindak pada potensi sebenar kita.

Sekiranya anda dapat mengawal tenaga ini, maka sesuatu kerja dan projek yang anda rancang, akan lebih mudah disiapkan. Ia adalah tenaga yang membuatkan anda sanggup berkorban bagi melakukan sesuatu untuk mencapai impian anda.

Lihatlah mereka yang berjaya dan pakar dalam sesuatu bidang, ia adalah hasil usaha mereka yang berterusan dalam berlatih dan melakukan sesuatu yang mereka minati dalam jangka waktu yang lama dan berterusan. Di manakah mereka mendapat tenaga ini? Ia adalah hasil daripada mereka mengurus dan mengawal tenaga dalam diri mereka.

Sebaliknya, ramai orang biasa-biasa yang tidak dapat melakukan sesuatu yang dirancang, sentiasa bertangguh, berputus asa, dan selalu gagal adalah mereka yang mengalami kebocoran tenaga.

Tenaga mereka setiap hari dihabiskan begitu sahaja dengan perkara yang melalaikan dan tidak membawa mereka sebarang hasil yang menguntungkan. Ramai yang membazir tenaga dengan hanya duduk di hadapan televisyen, melayari internet, bermain games berjam-jam, berjalan-jalan tanpa tujuan dan sebagainya.

Oleh itu, sekiranya anda dapat mengawal tenaga ini daripada bocor, maka anda secara perlahan-lahan akan mula berada pada momentum bertindak pada tahap potensi sebenar anda.

3.   Mengawal masa

Masa anda amat berharga. Justeru, hanya gunakan masa anda pada perkara yang benar-benar perlu anda lakukan dan membawa manfaat kepada anda.

Sentiasa tulis apa yang ingin anda lakukan dan ikut jadual perancangan anda.

Mengawal masa juga amat berkait dengan mengawal tenaga dalam hidup anda. Iaitu bagaimana anda mengurus aktiviti hidup anda setiap hari.

Seeloknya, saya cadangkan untuk anda mula membahagikan masa anda kepada 6 zon masa agar hidup anda lebih seimbang.

4.   Mengawal minda

Minda ibarat span yang menyerap apa jua yang masuk ke dalam fikiran. Justeru, amat penting untuk anda menapis terus apa yang bakal memasuki minda fikiran anda.

Apa yang anda lihat, dengar dan alami setiap hari akan mempengaruhi persepsi dan kawalan minda anda sama ada melihat sesuatu dengan positif atau negatif.

Sentiasa mendengar sesuatu yang bermanfaat dan boleh memberikan motivasi buat minda anda. Elakkan memberikan minda anda tanggapan negatif dan palsu.

Minda yang berada pada potensi sebenar adalah minda yang fokus, positif dan percaya pada diri sendiri untuk melakukan sesuatu dengan jayanya.

5.   Mengawal tindakan

Akhirnya, mengawal dan mengurus setiap tindakan yang anda ambil adalah amat penting. Apabila anda tersilap dalam bertindak, ia akan mempengaruhi hari anda pada hari tersebut.

Contoh mudah adalah apabila anda terlebih makan dengan banyak, maka ia akan mempengaruhi tindakan anda berikutnya iaitu tenaga anda akan berkurang dan badan mulai letih dan mengantuk. Kesannya, segala perancangan anda pada masa itu akan tergendala.

Contoh lain adalah apabila anda telah mula bertindak menonton drama di televisyen, maka ia akan mempengaruhi tindakan anda pada keesokan harinya. Di mana anda sudah pasti akan terus menonton drama tersebut setiap hari sehingga habis episodnya.

Jadi, cara terbaik adalah pilih tindakan yang akan anda lakukan dengan baik. Hanya lakukan apa yang boleh memberi manfaat dan meningkatkan potensi hidup sebenar anda.

Semoga 5 tip ini dapat memberi manfaat buat anda untuk berada pada potensi sebenar di dalam hidup anda sebagaimana kita sebagai manusia telah dijadikan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *