7 Sebab Gagal dalam Perniagaan

motivasi bisnes Jim RohnAssalamualaikum w.b.t

Ramai yang minat berniaga, tapi tak ramai yang mengambil tindakan untuk mula berniaga.

Ramai yang ingin menjana pendapatan sampingan, pendapatan pasif dan memiliki perniagaan sendiri yang berjaya. Namun, masih lagi gagal bertindak memulakan langkah pertama dan jika bertindak, ramai juga yang berhenti separuh jalan.

Tidak kira walau apa jua bentuk perniagaan yang kita lakukan, lakukanlah ia dengan kesungguhan, dengan ilmu dan tunjuk ajar mentor yang telah berjaya. InsyaAllah kita juga akan turut mencapai kejayaan.

Selagi perniagaan yang kita lakukan itu halal, dilakukan dengan jujur dan amanah, maka ia adalah ibadah kita dalam membantu menyelesaikan masalah orang lain.

Kenapa masih gagal?

Apabila sudah mula berniaga, masih ramai yang gagal dalam perniagaan, tidak mendapat keuntungan dan hasil tidak seberapa. Masih lagi belum berjaya walau sudah bertahun-tahun berniaga.

Di manakah silapnya?

7 Sebab Gagal dalam Perniagaan

1.   Tidak menambah ilmu perniagaan dan pemasaran

Berapa jumlah buku yang kita baca dalam sebulan? Berapa kali kita menghadiri seminar perniagaan dalam setahun? Apakah kita telah mengamalkan ilmu yang dipelajari?

2.   Tidak fokus pada satu perniagaan

Terikut-ikut dengan peluang perniagaan yang ditemui. Suka menukar perniagaan dan banyak melakukan perniagaan pada satu masa. Akhirnya, kita akan lelah dan tidak produktif dan dibimbangi tidak ada yang berjaya dilakukan dengan cara yang terbaik.

3.   Tidak mempunyai kesungguhan

Malas menambah ilmu, malas merancang dan malas bertindak. Tiada motivasi dan kesungguhan untuk meneruskan perniagaan. Disinilah pentingnya berniaga mengikut minat anda. Atau mula meminati perniagaan anda.

4.   Tidak mempunyai sistem perniagaan yang teratur dan terbukti berjaya

Sistem pemasaran, sistem menambah stok, sistem pengiraan aliran kewangan syarikat, sistem organisasi yang teratur semuanya adalah penting.

5.   Tidak mempunyai pelan tindakan dan perancangan syarikat

Visi dan misi syarikat akan dapat direalisasikan apabila jelas pelan tindakan dan perancangan tahunan.

6.   Amalan kerja tidak mengikut syariat

Budaya membazir masa, tidak fokus, lalai dalam kerja, tidak jujur dan amanah adalah antara racun yang membahayakan dalam organisasi.

7.   Tidak bersyukur, tamak dan tiada perancangan kewangan

Walaupun sudah mencapai keuntungan, wang masih lagi tidak mencukupi, selalu ‘hilang’, tidak dapat disimpan malah sentiasa berhutang.

7 Ciri Perniagaan yang Berjaya

Penyelesaiannya, mulai hari ini, marilah kita

1.   Menambah ilmu perniagaan dan pemasaran

Sertai bengkel dan seminar pemasaran. Dalami ilmu perniagaan anda dan pelajari teknik menambah jualan.

2.   Fokus pada satu perniagaan

Fokus pada satu perniagaan hingga berjaya mendapat hasil dan dapat diautomasikan atau menghasilkan sistem jualan. Selepas itu, barulah kembangkan lagi perniagaan tersebut atau membina cabang perniagaan lain yang berkaitan.

Lihatlah perniagaan besar seperti Google, Facebook, Apple, Mydin dan sebagainya adalah jenama yang fokus pada mengembangkan satu jenama perniagaan mereka.

3.   Bersungguh-sungguh melakukan sesuatu tindakan yang luar biasa

Mulakan tindakan satu persatu. Walau sekecil manapun tindakan yang kita lakukan, ia adalah penting bagi memastikan kita bergerak ke arah kejayaan. Rancang tindakan dan mula bertindak merealisasikan idea-idea menjadi kenyataan.

4.   Membina, mencontohi dan mempelajari sistem perniagaan yang teratur dan terbukti berjaya

Setiap perniagaan seharusnya mempunyai operasi standard yang telah terbukti menghasilkan jualan. Jika tiada, mula bina sistem operasi dan sistem jualan bagi perniagaan anda.

5.   Memiliki pelan tindakan dan perancangan syarikat tahunan, 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun akan datang

Ramai yang kekal sama setiap tahun walaupun sudah berniaga bertahun-tahun. Malas untuk merancang, maka kita sebenarnya merancang untuk gagal dalam bertindak.

Tanpa perancangan untuk mengembangkan dan menambah baik syarikat setiap tahun, kita akan kekal statik di takuk lama. Mula bina pelan tindakan dan perancangan untuk tahun ini dan tahun-tahun berikutnya sesuai dengan visi dan misi syarikat.

6.   Mengamalkan budaya kerja Islam dan patuh syariat

Budaya kerja Islam, menjaga waktu solat 5 waktu, jujur, amanah, tepati janji, mesra pelanggan, senyuman, menjaga kebajikan pekerja dan nilai-nilai murni lain adalah penting dalam sesebuah organisasi.

7.   Memperbanyak rasa syukur dalam diri.

Menunaikan zakat, sedekah dan waqaf. Rendah hati, tidak tamak dan merancang aliran kewangan syarikat dengan betul.

Kita bukan sekadar mahukan keuntungan, tapi kita mahu menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, peruntukkan sejumlah dana untuk kebajikan pekerja dan sedekah, serta sumbangan ke arah kebaikan.

Moga dengannya, kita mendapat harta yang berkat dan diberkati Allah. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *