Jalan yang tidak ramai lalui (The Road Less Travelled)

2 jalanAssalamualaikum w.b.t

Dalam hidup kita mempunyai banyak pilihan. Pilihan ini bolehlah diumpamakan sebagai jalan. Terdapat banyak jalan yang boleh kita pilih dan setiap pilihan yang dibuat akan menentukan hasil yang kita akan peroleh.

Apabila betul dan tepat pilihan kita, maka kita akan temui kejayaan di akhir jalannya nanti. Sebaliknya, jika tersalah jalan, sama ada kita berpatah balik atau terus melakukan kesilapan.

Sekurang-kurangnya terdapat 2 jenis jalan iaitu jalan yang ramai orang laluinya dan jalan yang tidak ramai orang sanggup melaluinya.

Biasanya, setiap orang akan melalui jalan yang orang ramai telah lalui. Ini kerana ia nampak betul dan sudah menjadi kebiasaan.

Tetapi, apabila ada yang memilih jalan satu lagi, jalan yang tidak ramai sanggup laluinya, mereka seakan-akan nampak pelik dan janggal.

Jalan yang orang ramai sentiasa lalui adalah jalan yang lebih senang, tiada banyak cabaran dan rutin kehidupan adalah seperti orang kebanyakan.

Manakala jalan yang tidak ramai orang lalui adalah jalan yang tidak senang, penuh dengan ujian, pengorbanan, kesabaran, keyakinan dan disiplin diri.

Terpulang kepada anda jalan manakah yang sanggup anda pilih kerana hasil yang akan diperoleh sepanjang perjalanan sudah pasti berbeza.

1.   Memasang impian vs. Angan-angan

Ramai yang mempunyai idea hebat yang boleh menjadikan mereka kaya dan berjaya. Namun, idea hanya tinggal idea jika ia tidak ditulis dan dibuat tindakan susulan.

Orang yang berani akan memasang impian di dalam hidup mereka dan berusaha bertindak untuk menjadikan impian mereka menjadi kenyataan. Jika anda mempunyai impian, adakah anda telah tulis impian anda dan melihatnya setiap hari. Jika belum, ia masih lagi sebagai angan-angan yang mungkin akan dilupakan.

Pasanglah impian anda dan tulislah kesemuanya. Lihat impian anda setiap hari. Inilah langkah permulaan dalam mengikut jejak jalan yang tidak ramai orang melaluinya.

2.   Menjaga masa vs. Membazir masa

Masa adalah kehidupan. Ramai orang tidak mengambil berat dengan masa mereka. Ia boleh berlalu begitu sahaja tanpa sedikitpun rasa kekesalan.

Jagalah masa, kerana ia umpama umur kita, masa yang pergi tidak akan kembali. Lakukan perkara yang penting sahaja dan ambil berat setiap saat, minit dan jam yang anda ada.

Beza orang yang berjaya dan lambat berjaya adalah bukan pada jumlah masa 24 jam, tapi terletak pada bagaimana mereka mengurus masa dan mengagihkan masa dengan baik dan bijak.

3.   Tindakan luar biasa vs. Tindakan biasa-biasa

Apabila mengulangi rutin kehidupan yang sama setiap hari, maka hasil yang diperoleh juga akan sama. Jika anda inginkan lebih banyak kejayaan dan kekayaan, anda perlu ubah tindakan anda bagi mendapatkan hasil yang berbeza.

Bertindak luar biasa ialah keluar dari zon selesa dan cuba lakukan perkara baru yang dapat ubah hidup anda suatu masa nanti. Paling penting, bertindaklah dengan ilmu dan mempunyai guru atau mentor.

4.   Sentiasa menambah ilmu vs. Ilmu sedia ada

Membaca adalah tabiat mereka yang berjaya. Tidak ramai yang menjadikan membaca rutin kehidupan harian mereka. Apabila anda memilih untuk sentiasa membaca dan menambah ilmu setiap hari di dalam bidang anda, anda sebenarnya sudah melalui jalan yang tidak ramai orang laluinya. Dan kelak, dengan izin Allah, anda akan menjadi pakar dalam bidang anda.

5.   Banyak memberi vs. Banyak menerima

Alangkah indah hidup apabila sentiasa dapat memberi dan berkongsi.

Justeru, setiap kali bangun pagi, fikirkanlah apakah yang dapat anda lakukan untuk memberi kepada lebih ramai orang. Dengannya, anda menjadi orang paling kaya.

Sebaliknya, apabila minda fikiran hanya memikirkan apakah yang akan diterima hari ini, anda akan berasa sempit, sedih dan kecewa sekiranya tidak mendapat sebagaimana yang diharapkan.

6.   Tidak berputus asa vs. Sentiasa berputus asa

Dunia tempat ujian. Hanya mereka yang berjaya ialah yang tidak berputus asa dalam kehidupan. Apabila gagal, belajarlah daripada kegagalan dan bangkit kembali. Jangan sesekali putus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah.

Yakinlah, selepas kesusahan akan datangnya kemudahan.

7.   Yakin berjaya vs. Ragu-ragu akan berjaya

Keyakinan untuk berjaya disandarkan dengan ilmu. Apabila setiap amalan dan tindakan dilakukan dengan ilmu yang betul, yakinlah, cepat atau lambat, anda akan berjaya dengan izin Allah.

Jika ragu-ragu akan berjaya, anda sudah hampir gagal sebelum anda betul-betul bertindak. Fikirkan positif, insyaAllah segalanya akan mudah.

8.   Sentiasa beramal soleh vs. Lalai dengan kehidupan

Akhirnya, dunia tempat beramal bagi membawa bekal ke akhirat kelak. Sekiranya ramai orang yang lalai dengan kehidupan, janganlah mengikut jalan yang sama. Pilihlah jalan yang benar dan beramal soleh sentiasa walaupun jika tidak ramai yang melalui jalan tersebut.

Inilah antara pilihan yang perlu dipilih setiap hari. Apabila tepat pilihan anda, insyaAllah segalanya akan mudah dan mendapat hasil yang baik.

Moga tulisan ini bermanfaat buat anda. 🙂

4 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *