Seminar Mudahnya Berniaga 2 – Dr Azizan Osman

Assalamualaikum w.b.t

Baru-baru ini, saya berkesempatan pergi ke Seminar Mudahnya Berniaga 2, Dr Azizan Osman di Kota Bharu.

Setiap kali ada seminar yang Percuma di sini, insyaAllah saya tidak akan lepaskan peluang untuk menghadirinya.

Ini kerana, bagi saya 2 prinsip yang saya pegang, Prinsip 1 , apabila mentor (guru) datang ke negeri saya, Dr Azizan Osman dan Hj Asri, saya perlu bertemu dengan mereka dan sekurang-kurangnya melihat wajah mereka. Dan prinsip yang kedua, sama ada seminar percuma atau berbayar, saya yakin sudah pasti terdapat mutiara ilmu baru yang dapat saya peroleh dan amalkan.

Sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran, apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?

Untuk itu, saya kongsikan beberapa pengajaran penting daripada perkongsian di dalam seminar ini. Moga lebih ramai mendapat manfaatnya. InsyaAllah.

Catatan Seminar

1.   Berniaga atau bekerja, perlu lakukan dengan pantas. Perlukan speed. Tidak ada orang yang sukakan servis dan perkhidmatan yang lambat. Contohnya, tidak ada orang sukakan broadband yang perlahan. Semua orang mahukan yang pantas.

2.   Dalam bisnes, aspek paling penting ialah pemasaran (marketing). Tidak kira sehebat manapun produk atau servis kita, ia tidak bermakna jika orang lain tidak mengetahui kewujudan produk atau servis kita. Oleh itu, ilmu pemasaran amat penting untuk dipelajari supaya perniagaan lebih maju dan berkembang.

3.   Terdapat 4 kategori atau 4 kuadran sebagaimana yang dikongsikan oleh Robert T. Kiyosaki, iaitu seperti di bawah.

Kiyosaki-Cashflow-Quadrant

E : Employee (Pekerja)

SE : Self Employee (Bekerja Sendiri)

B : Business Own (Perniagaan yang mempunyai sistem)

I : Investor (Pelabur)

Di dalam kategori manakah anda?

Untuk lebih kaya berjaya, perlu berada dalam kategori di sebelah kanan iaitu fokus kepada Business dan menjadi Investor.

Jika anda sekarang bekerja, maka boleh berusaha separuh masa untuk berniaga dan berada juga dalam kategori yang lain.

4.   Terdapat 2 aspek utama yang perlu dijadikan pegangan untuk meningkatkan potensi diri dan kekayaan yang seimbang, kaya berjaya dunia dan akhirat iaitu :

       1.   Berapa nilai yang anda dapat?

Nilai hidup amat luas. Ia merangkumi ke mana hidup anda dihabiskan, masa anda, pekerjaan anda, pendapatan anda dan sebagainya.

Namun, bagi memudahkan pengiraan, bolehlah kiranya dinilaikan mengikut jumlah pendapatan. Iaitu, sekiranya anda berumur 25 tahun, dan akan bekerja sehingga umur 60 tahun iaitu dalam 35 tahun bekerja, maka nilai yang anda dapat adalah gaji anda setahun x 35 tahun = nilai hidup anda.

Jadi, adakah anda berpuas hati dengan nilai sekarang? Atau anda sebenarnya boleh lakukan lebih baik lagi dengan syarat anda berusaha dan cuba mempelbagaikan sumber pendapatan anda bermula hari ini.

Ini kerana, umur yang berlalu sudah lepas, dan masa sekarang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana ia akan mempengaruhi bagaimana anda akan menghadapi hari esok dan seterusnya.

        2.  Berapa banyak manfaat yang anda berikan?

Berniaga adalah salah satu cara menambah nilai dan memberi lebih manfaat dalam kehidupan orang lain. Semakin ramai orang yang anda bantu, maka semakin banyak manfaat yang telah anda berikan. Dan sudah aturannya, semakin banyak anda memberi semakin banyak pula anda akan menerima.

Apabila semakin ramai orang yang anda bantu, dengan izin Allah, anda ter’paksa’ menjadi kaya.

Jadi, fikirkan apakah manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain dan menambah nilai kehidupan mereka?

Jangan berniaga kerana ingin kaya. Kerana anda tidak akan kekal lama. Tapi, berniagalah kerana ingin membantu orang lain dan menambah nilai dalam hidup mereka.

5.   Terdapat 3 Kategori Perniagaan iaitu :

1.   Baru bermula (Start up)

  • Berniaga tidak lebih daripada 3 tahun.
  • Jualan setahun adalah antara RM 0 – RM 500 000 setahun.

Sekiranya sudah berniaga lebih daripada 3 tahun, tapi jualan setahun masih belum melebihi RM 500 000, maka masih dikira sebagai Start up.

  1. Bisnes
  • Berniaga dalam 3 hingga 5 tahun.
  • Jualan setahun antara RM 500 000 – RM 10 Juta setahun.
  1. Berkembang (Expansion)
  • Berniaga lebih daripada 5 tahun.
  • Jualan setahun melebihi RM 10 Juta setahun.

Dimanakah perniagaan anda sekarang? Sekiranya sudah bertahun-tahun berniaga, tapi masih lagi berada dalam kategori pertama, maka anda perlu lakukan sesuatu.

6.   DAO kongsikan 5 langkah ini bagaimana bergerak daripada kategori 1 ke kategori ke 2 dan seterusnya.

  1. Matlamat yang jelas
  2. Mahu – semakin tinggi kemahuan, semakin mudah anda mencapai kejayaan.
  3. Mampu – mempunyai ilmu.
  4. Masteri – menguasai perniagaan anda, pemasaran dll.
  5. Master Plan – memiliki Pelan jangka masa panjang ke mana bisnes perniagaaan anda dalam tahun-tahun seterusnya.

Oleh itu, untuk berniaga tidak sesusah yang difikirkan. Anda tidak perlu mengetahui semua perkara.

Anda perlu kemahuan yang kuat, kesanggupan untuk bertindak melakukan langkah pertama dan seterusnya, menambah ilmu sepanjang masa untuk menjadi masteri dalam bidang anda, mempunyai mentor dan sistem yang betul dan diiringi dengan niat membantu orang lain kerana Allah.

Semoga dengan tindakan dan usaha pemasaran yang anda lakukan untuk membantu lebih ramai orang, maka Allah akan limpahkan rezeki buat anda dan perniagaan anda.

Semoga bermanfaat.  🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *