Siri 1 Pemasaran Internet : 5 Kaedah Percuma dapatkan Trafik Pelawat ke Blog

trafik pelawatAssalamualaikum w.b.t

Dalam perniagaan internet atau online, kaedah pemasaran di internet adalah berbeza dengan kaedah biasa.

Kaedah pemasaran di internet memerlukan anda mendapatkan trafik pelawat ke laman web, blog, laman jualan Facebook atau halaman jualan produk anda.

Trafik pelawat biasanya datang melalui enjin carian seperti Google, Yahoo dan Bing. Namun trafik pelawat daripada enjin carian tidak cukup sekiranya blog anda masih baru dan belum mendapat tempat pertama pada muka surat enjin carian bagi sesuatu kata kunci.

Contohnya, apabila pelawat mencari kata kunci ‘motivasi perniagaan’ di Google Search, maka terdapat terlalu banyak blog dan laman web yang disenaraikan. Sekiranya blog anda masih baru, sudah pasti untuk blog anda berada di halaman muka surat pertama amat sukar.

Oleh itu, tidak dapat tidak dalam internet, anda perlu melakukan pemasaran bagi menarik dan mendapatkan lebih banyak trafik ke laman web atau blog anda.

Dalam Siri 1 ini, saya kongsikan 5 cara untuk anda mendapatkan trafik pelawat ke laman web anda.

5 Kaedah Percuma dapatkan Trafik Pelawat ke Blog

1.   Bina Facebook fanpage untuk blog anda

Buat satu Facebook page untuk blog anda. Kemudian, kongsikan tip bermanfaat dan artikel berkaitan blog anda kepada rakan Facebook page anda.

Apabila semakin ramai yang Like Page anda dan juga perkongsian anda, rakan-rakan mereka yang lain akan turut Like page anda dan mengenal lebih lanjut berkaitan blog anda.

2.   Blogwalking

Blogwalking adalah amalan mengunjungi blog orang lain dan memberikan komen bermanfaat di blog mereka. Ia amat berkesan bagi blog yang baru dan ingin mendapatkan trafik pelawat. Apa yang penting ialah berikan pendapat dan komen yang bermanfaat dan konsisten.

Apabila anda memberikan komen di blog mereka, kebiasaannya tuan punya blog akan turut melawat blog anda dan cuba mengenali anda lebih dekat. Namun, jangan sedih jika komen anda tidak berbalas. Apa yang penting adalah hubungan yang terjalin sesama blogger.

Apabila anda selalu memberikan komen di blog yang aktif dan terkenal mempunyai ramai pelawat, lama-kelamaan anda akan semakin dikenali oleh tuan punya blog dan para pembaca blog tersebut.

Pilih 5 blog sahaja dahulu, kemudian latih diri anda untuk melawat blog tersebut dan berikan komen yang membina secara berkala setiap minggu. InsyaAllah anda akan melihat hasil yang positif.

3.   Kongsikan video bermanfaat di Youtube

Selain di Facebook, Youtube juga mempunyai trafik yang tinggi. Ramai orang yang menonton video-video di Youtube dan mereka ini berpotensi untuk menjadi pelawat blog anda.

Bagaimana? Caranya ialah dengan anda membuat beberapa video dan kongsikan video tersebut di Youtube. Pastikan video tersebut berkaitan dengan topik blog anda dan video tersebut mempunyai nilai dan manfaat. Kemudian, masukkan link blog anda di ruangan bawah video tersebut.

Apabila ramai yang menonton video anda, dan mereka tertarik dengan perkongsian anda, mereka akan cuba mengenali anda lebih lanjut dan secara tidak langsung mereka akan turut melawat blog anda.

Lakukan secara konsisten, satu video seminggu atau dua minggu sekali dan anda akan lihat hasilnya.

4.   Sertai Forum berkaitan topik blog anda

Jika topik blog anda berkaitan perniagaan internet dan keusahawanan, maka anda boleh sahaja taip di Google Search ‘forum perniagaan internet’ atau ‘forum keusahawanan’. Forum yang sehingga kini dikenali ramai berkaitan perniagaan internet ialah forum WangCyber.

Apabila anda telah jumpa forum berkaitan topik blog anda, anda boleh mendaftar sebagai ahli di dalam forum tersebut dan berikan komen membina. Anda juga boleh kongsikan tip berkaitan yang bermanfaat untuk para ahli forum yang lain.

Di sini, anda boleh mendapat ilmu baru, membina kreadibiliti anda dan juga mengenali lebih ramai rakan yang lain yang mempunyai minat dan hobi yang sama dengan anda.

Selain itu, anda juga boleh letakkan link blog anda pada ruangan signature forum tersebut agar para ahli forum dapat mengenal anda lebih lanjut di blog anda.

5.   Buat ebook percuma dan berikan kepada pelawat blog anda

Teknik ini amat sesuai bagi meningkatkan pelawat ke blog anda untuk jangka masa panjang. Anda hanya perlu tulis sebuah ebook ringkas berkaitan topik blog anda dan berikannya percuma kepada mereka yang melawat blog anda.

Di dalam ebook tersebut, anda boleh ceritakan serba sedikit berkaitan diri anda dan blog anda. Kemudian, anda galakkan para pembaca ebook anda untuk kongsikan ebook tersebut kepada rakan-rakan mereka di Facebook dan sebagainya.

Secara tidak langsung, lebih ramai orang akan membaca ebook percuma anda dan seterusnya para pembaca ebook tadi akan dapat mengenali anda lebih dekat lagi.

Sebenarnya terdapat banyak lagi pemasaran percuma yang lain. Namun, cukuplah dalam Siri 1 ini saya kongsikan 5 pemasaran ini yang mana ia sebenarnya sudah memadai untuk memberikan lebih ramai pelawat ke blog anda. Pemasaran advance yang lain akan saya kongsikan dalam artikel-artikel yang lain nanti.

Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat buat anda. Jika anda mempunyai cara pemasaran anda tersendiri, silakan kongsi bersama saya di ruangan komen.

6 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *