Assalamualaikum w.b.t , salam kaya dan berjaya.
Semoga anda sihat sentiasa hendaknya. Susulan daripada artikel sebelum ini, pada kali ini saya akan kongsikan beberapa model perniagaan internet yang utama.
Pada umumnya, perniagaan internet boleh dibahagikan kepada 5 bahagian seperti berikut :
1. Perniagaan produk fizikal
Perniagaan produk fizikal melibatkan barang-barang fizikal yang dijual di internet seperti buku, kain tudung, baju jersey, aksesori perhiasan, gadjet, barangan perabot, peralatan komputer dan banyak lagi.
Jualan biasanya dilakukan melalui beberapa cara seperti melalui laman fanpage di Facebook, melalui blog peribadi, laman web syarikat, iklan di laman iklan percuma, Mudah.my atau membuat jualan di Amazon.com atau laman lelong Ebay.
Bagi perniagaan ini, anda mesti memiliki produk atau barang untuk dijual. Sekiranya anda tidak memiliki produk atau barangan, anda boleh menjadi agen affiliate iaitu sebagai orang tengah memperkenalkan barangan dan mendapat komisen daripada jualan yang dihasilkan.
(Saya akan terangkan model pemasaran affiliate ini dalam model ke 3)
Selain itu, alternatif lain ialah dengan menjadi agen dropship. Sebagai agen dropship, anda mendapat harga yang rendah daripada syarikat dropship. Anda kemudiannya menjual barangan tadi dengan harga pasaran dan untung tersebut adalah milik anda.
Paling menarik, anda tidak perlu menyimpan stok atau menghantar barangan, sebaliknya pihak syarikat dropship tadi yang akan menguruskan tempahan dan penghantaran barangan.
2. Perniagaan produk digital
Perniagaan produk digital pula melibatkan jualan barangan digital yang perlu didownload oleh pembeli seperti dalam bentuk audio, video, ebook (buku digital PDF), perisian (software) dan sebagainya.
Produk digital seperti ebook dan audio adalah produk yang lebih banyak didapati di internet. Ramai usahawan internet berjaya mendapat jualan dan keuntungan yang besar hanya dengan jualan ebook.
Anda tidak perlu mencetak buku atau mengeluarkan modal yang besar membuka kedai, sebaliknya ebook tadi didownload oleh pembeli. Modal anda hanyalah masa untuk anda menulis dan juga modal laman web bagi hosting.
Ebook biasanya dihasilkan bagi berkongsi tip dan pengalaman penulis dalam sesuatu bidang, menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai, atau berkongsi apa jua aktiviti dan hobi yang menarik.
Jika anda suka menulis, mempunyai kepakaran dalam bidang anda, memiliki pengalaman dalam sesuatu perkara, maka kongsikanlah ilmu anda kepada orang ramai melalui ebook.
3. Pemasaran affiliate
Pemasaran affiliate adalah antara model yang menjadi pilihan. Anda hanya perlu mendaftar dengan pemilik produk bagi menjadi agen affiliate secara percuma, kemudian anda hanya perlu membuat promosi link laman web pemilik produk tadi melalui facebook anda, emel rakan-rakan anda dan pelbagai lagi teknik promosi.
Apabila ada pembeli yang membeli produk tadi dengan link anda, iaitu hasil daripada promosi anda, maka anda akan mendapat komisen hasil daripada jualan tadi. Biasanya anda mendapat 50% komisen, 45 % atau 35 % komisen daripada hasil jualan tadi.
Model ini amat mudah dan tiada risiko. Anda tidak memerlukan sebarang modal, sebaliknya hanya perlu membuat promosi dan promosi.
Apa yang penting anda mestilah memilih produk affiliate yang mendapat permintaan ramai dan berpotensi untuk anda mendapat pembeli, kemudian lakukan promosi secara berhemah.
Terdapat banyak produk di internet yang menawarkan peluang menjadi agen affiliate seperti di Clickbank.com dan Amazon.com. Bagi pasaran Malaysia, anda boleh mendaftar agen affiliate di JomNiaga.com. Banyak pilihan produk yang anda boleh pilih untuk dipromosi.
Jika anda berminat dengan model affiliate ini dan ingin mendalami bidang ini, anda boleh dapatkan produk saya, Pakej Video Intensif Kursus Affiliate di sini.
4. Perkhidmatan atau servis
Selain jualan produk fizikal dan digital, anda boleh memilih untuk menawarkan perkhidmatan atau servis melalui internet.
Contohnya perkhidmatan fotografi atau video perkahwinan, upah menaip, menterjemah, menulis surat jualan, penulis bebas, designer, membina blog atau laman web bagi persendirian atau syarikat, perkhidmatan kad kahwin, printing banner dan banting, dan sebagainya.
Anda hanya perlu menawarkan perkhidmatan anda di Facebook, di blog atau melalui laman web. Berikan sedikit masa dan melakukan promosi berterusan sehingga perkhidmatan anda tadi dikenali ramai.
5. Blogging
Selain perniagaan di atas, blogging juga merupakan satu model yang mampu memberikan pendapatan tambahan yang lumayan. Para blogger terkenal dunia seperti Pat Flynn, Darren Rowse, telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan 5 hingga 6 angka melalui blog mereka.
Bagi orang ramai, memiliki blog adalah sebagai hobi dan mengisi masa lapang. Namun, bagi usahawan internet, blog mereka adalah bisnes perniagaan mereka.
Untuk berjaya dalam bidang blogging, ia memerlukan pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga. Ia juga perlukan usaha yang konsisten dan komitmen yang tinggi selama bertahun-tahun sebelum boleh menikmati hasilnya.
Kesimpulan
Terdapat beberapa lagi model perniagaan internet yang lain. Namun, saya kira 5 model di atas sudah cukup buat permulaan.
Anda hanya perlu pilih satu bidang sahaja terlebih dahulu. Pada awal saya memulakan perniagaan internet, saya memilih untuk membuat produk digital Ebook saya sendiri. Kini, saya mulai fokus dalam bidang Blogging.
Saya juga menyarankan anda untuk fokus pada satu model yang paling sesuai dengan kemampuan anda. Kemudian, pelajari dengan mendalam bidang tadi dengan mendapatkan panduan percuma atau berbayar di internet. Teruskan usaha sehingga anda berjaya mendapat jualan pertama anda di internet.
Semoga bermanfaat. 🙂 Silakan berkongsi artikel ini dan tinggalkan pendapat anda di bawah. Terima kasih.
effort lab says
Kadang2 kami tertanya2 bagaimana utk dapat hasil yg terbaik dr jual ebook. Ada 1 tempat tu, slumber jual fund paypal beratus2 USD hasil jual ebook. Memang kaya huhu
zul press says
Ya. Terdapat beberapa langkah sebelum membuat ebook seperti mengkaji pasaran dan permintaan bagi topik yang ingin ditulis terlebih dahulu. Promosi juga penting 🙂
massodasuki says
Terbaik memang best untuk orang baru baca ..
zul press says
Alhamdulillah, terima kasih, tuan.