Assalamualaikum w.b.t
Setiap perniagaan sama ada perniagaan runcit, produk, makanan, perkhidmatan dan sebagainya memerlukan usaha yang berterusan bagi menghadapi cabaran persaingan dengan syarikat yang lain.
Dalam menghadapi cabaran perniagaan, ramai orang mula mencari jalan ‘pintas’ bagaimana untuk meningkatkan jualan, menarik pelanggan dan mendapat keuntungan daripada perniagaan yang dilakukan.
Pada zaman sekarang, ramai yang mencari-cari ‘pelaris’ untuk perniagaan mereka. Ada yang menggunakan cara yang betul dan ada juga yang menggunakan cara yang salah.
Kenapa perniagaan yang sama, produk dan perkhidmatan yang sama tetapi hasilnya berbeza. Ini kerana hakikatnya rezeki setiap orang adalah berbeza masing-masing mengikut kadar yang telah ditentukan oleh Allah sebagaimana usaha seseorang itu.
Namun, sebagai peniaga, kita perlu terus berusaha dalam melariskan jualan perniagaan kita walau apa jua cabaran yang dihadapi.
Dalam tulisan kali ini, saya kongsikan apa yang saya pelajari daripada seorang ustaz di dalam tazkirah Maghrib yang beliau sampaikan pada hari ini.
5 ‘Pelaris’ dalam Perniagaan
1. Masakan yang sedap dan terbaik
Bagi mereka yang berniaga makanan, cara paling mudah untuk mendapat ramai pelanggan adalah dengan memastikan apa yang dihidangkan adalah sedap dan terbaik. Maka, sudah pastilah pelanggan yang datang pertama kali akan mulai datang berkali-kali.
Manakala, bagi perniagaan lain, berikan perkhidmatan, servis atau produk yang dijual adalah yang terbaik dan lebih nilai buat pelanggan anda. Sehingga pelanggan akan memuji perkhidmatan atau produk anda dan ingin datang lagi ke tempat anda.
Contoh mudah seperti penjual keropok. Pastikan keropok yang digoreng adalah segar, sedap dan ‘panas-panas’ bersama-sama sos pencicah yang bersih dan segar.
2. Harga makanan yang sesuai dan tidak terlalu tinggi
Dalam meletakkan harga, pastikan ia mampu dibayar oleh kebanyakan orang dan tidak membebankan bakal pembeli anda. Bayangkan anda berada di tempat mereka, sudah pasti anda juga mahukan harga yang rendah dan jimat.
Oleh itu, harga yang murah dalam banyak hal akan menarik lebih ramai pelanggan ke kedai anda.
Mengikut apa yang saya perhatikan, orang kita apabila berniaga, lebih mengutamakan keuntungan yang banyak daripada kepuasan membantu pelanggan. Ia dapat dilihat apabila mula menaikkan harga sesuka hati dan terlalu kerap sedangkan harga yang asal sudahpun memadai dan membawa keuntungan buat mereka.
Ingatlah, apabila pelanggan gembira dengan produk/perkhidmatan anda dan mereka mampu membayarnya, sudah pasti lebih ramai orang akan ke tempat anda.
3. Layanan yang hebat
Selain produk dan harga, layanan yang anda berikan kepada pelanggan adalah antara kunci penting melariskan perniagaan. Layanan yang diberikan mestilah mesra, cepat dan terbaik.
Apabila mendapat layanan mesra, ucapan salam, senyuman dan bantuan sokongan yang cepat dan terbaik, sudah pasti pelanggan akan gembira berurusan dengan anda.
Lihatlah sahaja betapa ramai peniaga yang berniaga sekadar ingin menghabiskan stok mereka dengan tidak bersungguh-sungguh melayan pelanggan apabila muka mereka tiada ukiran senyuman dan layanan yang mesra. Telefon dan sms yang lambat dijawab dan sebagainya.
Jadi, berikan layanan yang memuaskan hati pelanggan anda dan secara tidak langsung pelanggan anda akan setia dengan anda.
4. Lakukan solat sunat Dhuha setiap hari
Amalan solat sunat Dhuha adalah kunci menjemput rezeki. Lakukan amalan ini dengan ikhlas sebagai tanda syukur kepada Allah dan berdoalah meminta apa sahaja rezeki yang anda inginkan.
Amalkan dengan istiqamah dan anda akan melihat segala urusan anda akan dipermudahkan oleh Allah pada hari tersebut.
5. Membaca surah al-Waqiah setiap malam
Amalkan juga membaca surah al-Waqiah setiap malam selepas Maghrib atau Isyak. Baca secara rutin sebagai amalan harian.
Semoga dengan berkat bacaan al-Quran, hidup kita termasuklah perniagaan kita akan sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah.
Inilah dia 5 ‘pelaris’ dalam perniagaan yang dapat saya kongsikan. Sudah pasti terdapat banyak lagi tip melariskan perniagaan yang boleh kita amalkan.
Harapan saya, semoga 5 tip ini dapat kita amalkan bersama bagi melariskan perniagaan kita mengikut cara yang halal dan telah terbukti berkesan. 🙂
Leave a Reply