Assalamualaikum w.b.t
Dunia pelaburan amat luas dan pelbagai.
Dalam ruangan Kewangan ini, saya kongsikan hasil bacaan saya daripada buku Rich Dad’s Guide To Investing yang menyatakan bahawa seseorang pelabur perlu memiliki 3 E sebelum mulai berniaga, membina bisnes atau membuat pelaburan.
3 E dalam Pelaburan
3 E tersebut ialah :
1. Education (Pelajaran)
Apa yang dimaksudkan ialah selain daripada pelajaran yang formal, kita perlukan satu lagi pelajaran iaitu pelajaran kewangan.
Pelajaran kewangan (financial education) biasanya tidak diajar di sekolah dan di universiti melainkan bagi mereka yang mengambil pengkhususan dalam bidang tersebut.
Istilah-istilah berkaitan kewangan seperti aset, liabiliti, jenis-jenis cukai, jenis-jenis perniagaan, income statement, balance sheet dan banyak lagi perlu dipelajari dan difahami dengan baik.
Ia penting agar kita tidak tersalah faham dalam menentukan dan membezakan antara aset dan liabiliti.
Kemahiran membaca penyata kewangan sesuatu syarikat juga merupakan kemahiran yang perlu dikuasai jika kita ingin terlibat dalam pelaburan orang-orang kaya.
Robert Kiyosaki menyarankan kita agar berusaha meningkatkan penguasaan dan kefahaman dalam istilah-istilah kewangan kerana ia amat membantu bisnes dan pelaburan kita kelak.
2. Experience (Pengalaman)
Pengalaman dalam berniaga amat membantu seseorang untuk berjaya dalam bisnes yang diceburi.
Bekerja terlebih dahulu dengan memilih pekerjaan yang berkaitan dengan bisnes yang akan kita lakukan.
Bekerja bukan kerana wang atau gaji semata-mata, tetapi untuk kita pelajari bagaimana bisnes tersebut dijalankan dan untuk mendapatkan seni kemahiran dalam menjual dan menjalankan bisnes.
Bermula daripada bawah dan bina semangat keusahawan dalam diri.
Di samping bekerja, mulakan bisnes perniagaan secara sambilan (part-time) sehingga berjaya dan stabil.
Ingatlah, kebanyakan bisnes perniagaan yang terkenal dan berjaya pada masa sekarang, adalah pada mulanya dilakukan secara sambilan (part-time).
Setelah anda bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan kewangan, anda sudah boleh mula fokus kepada perniagaan anda sepenuhnya.
3. Excess cash (Duit lebihan)
Dalam pelaburan, anda perlu menggunakan duit lebihan dan bukannya duit lebih hasil daripada pendapatan anda.
Duit lebihan iaitu duit yang anda sanggup mengambil risiko yang jika rugi semuanya, anda masih boleh hidup seperti biasa.
Jangan sesekali gunakan duit simpanan anda untuk melabur. Gunakan duit yang anda sanggup untuk mendapatkan untung daripadanya atau rugi dengannya.
Elakkan menggunakan duit pinjaman untuk melabur, sekiranya anda masih baru dalam bidang pelaburan.
Ini kerana tiada siapa dapat meramalkan keadaan pasaran pada hari esok dan apa yang akan terjadi.
Robert Kiyosaki mencadangkan dalam buku beliau untuk mula membina bisnes terlebih dahulu dan dengan bisnes tersebut kita membuat pelaburan seperti membeli aset hartanah dan terlibat dalam saham.
Ia lebih selamat, lebih keuntungan dan ia adalah pelaburan orang-orang kaya.
Iaitu dengan membina bisnes (aset) dan membeli lebih banyak aset dengan bisnes tersebut.
Leave a Reply