Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Saya telah mengikuti satu audio bertajuk Key Principles oleh Robin Sharma. Dalam audio tersebut, Robin Sharma telah berkongsi prinsip dan sifat orang yang berjaya dan cemerlang dalam kehidupan mereka.
Dalam ruangan Mentor Niaga kali ini, saya kongsikan 5 prinsip kejayaan yang membezakan orang yang berjaya dan cemerlang daripada golongan 90% yang lain.
5 Prinsip Kejayaan
1. Idea tanpa tindakan adalah ilusi
Dunia ini dipenuhi oleh ramai orang genius yang mempunyai banyak idea. Tetapi sayangnya tidak ramai yang mengambil tindakan.
Sifat orang yang berjaya ialah mereka yang bias dan cenderung untuk mengambil tindakan. Idea adalah penting, tetapi tindakan adalah lebih penting.
Bagi orang yang berjaya dan cemerlang, setiap kali mereka bertindak melakukan sesuatu, mereka akan menjadi lebih bertenaga, lebih yakin dan bersemangat.
Mereka sedar setiap tindakan yang dilakukan akan membawa mereka semakin hampir kepada matlamat dan impian mereka.
Ia membawa mereka bergerak lebih ke hadapan dan melawan rasa takut untuk bertindak atau takut gagal.
Bagaimana untuk bermula?
Setiap kali mendapat idea baru, tulis idea tersebut sama ada di dalam buku catatan, post-it note, diari dan sebagainya.
Kemudian, buat pelan tindakan bagi idea tersebut dan bertindak di sekitar idea tersebut.
2. Jauhi gangguan dan fokus kepada hasil
Orang yang berjaya akan menolak dan mengatakan “tidak” terhadap sebarang bentuk gangguan yang tidak bermanfaat.
Mereka mengelak dan membuang sebarang gangguan yang boleh “memakan” masa jam produktif mereka.
Kesedaran yang tinggi terhadap gangguan ini amat penting.
Apakah gangguan yang menghalang anda untuk bergerak ke hadapan? Senaraikan dan elakkan gangguan tersebut. Sebaliknya, fokus kepada hasil dan keputusan.
Dunia ini dipenuhi dengan terlalu banyak gangguan dan terlalu banyak pilihan.
Kebanyakan orang sentiasa melihat dan membaca mesej di telefon bimbit mereka, menyemak emel, berfacebook dan sebagainya.
Ia hanya memberi kelegaan dan keseronokan sementara sebaliknya tidak membawa mereka hampir kepada gol, target, tujuan pekerjaan dan kejayaan bisnes mereka.
Kenali dan elakkan gangguan yang membantutkan kita mencapai kejayaan yang diimpikan.
Renungi sabda Nabi Muhammad S.A.W “Daripada kebaikan Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa-apa yang tidak berguna padanya (tidak bermaka).”
3. Pencapaian memberikan kepuasan
Orang yang cemerlang berasa puas dan gembira apabila mereka dapat mencipta, membina atau memberi sesuatu.
Usahawan yang terbaik bukan bekerja semata-mata kerana wang ringgit, tetapi mereka puas dan bahagia dengan “membina”.
Mereka membina syarikat dan perniagaan mereka. Mereka bangga dapat memberi perkhidmatan terbaik dan membantu orang lain.
Mereka gembira dapat menggunakan potensi mereka ke tahap paling terbaik.
Mereka gembira dapat menggunakan hari-hari mereka dengan kerja yang produktif. Mereka puas dapat berbakti dan melakukan sesuatu kerja yang bermakna.
Rasulullah S.A.W juga telah bersabda di mana Allah Taala amat menyayangi hamba-Nya yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan sehabis baik atau itqan.
4. Budaya 1% Menang
Orang yang cemerlang memastikan mereka mendapat 1% kejayaan setiap hari.
Mereka tidak membuat sesuatu yang terlalu besar sehingga membebankan diri mereka sendiri. Sebaliknya, mereka mencipta kemenangan sekurang-kurangnya 1% setiap hari bagi membawa diri dan kerja mereka ke hadapan.
Mereka melakukan perubahan yang sedikit dan konsisten setiap hari.
Kejayaan kecil setiap hari dengan perubahan 1% ke hadapan, akan menghasilkan sebanyak 365% perubahan dalam setahun dan 3650% perubahan dalam 10 tahun.
Jadikan budaya mencipta kemenangan kecil sekurang-kurangnya 1% bagi membawa hasil kerja kita lebih setapak ke hadapan setiap hari.
Kata Pepatah Arab, “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”
5. Orang yang kreatif ialah orang yang hidupnya terancang
Hidup kita seharian perlu terancang dan berjadual.
Orang yang cemerlang dan orang yang kreatif ialah mereka yang merancang untuk berjaya.
Bak kata pepatah, jika gagal merancang, maka kita sebenarnya merancang untuk gagal.
John Grisham seorang peguam dan juga penulis dalam bukunya ada mengatakan beliau akan bangun pada pukul 5.30 pagi setiap hari untuk menulis 1 muka surat setiap hari. Ia adalah komitmen beliau setiap hari.
Adakah anda juga telah merancang jadual hidup dan komitmen anda setiap hari?
Tahniah jika anda telah merancang kehidupan harian anda. Jika belum, mulakanlah sekarang.
InsyaAllah hidup kita akan lebih bermakna.
Contoh ikutan terbaik kita adalah Nabi Muhammad S.A.W. Bagaimana baginda membahagikan masa beribadah, bersama sahabat, bersama keluarga, pemimpin di medan perang, sebagai seorang guru dan pelbagai lagi akhlak baginda yang perlu kita pelajari dan ikuti.
Akhirnya, kita tidak ingin cemerlang hanya di dunia, tetapi apa yang kita inginkan adalah cemerlang di dunia dan akhirat.
Semoga kita menjadi orang yang cemerlang dan berjaya di dunia dan akhirat sebagaimana doa yang sering kita baca di dalam Al-Quran :
“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Al Baqarah: 201)
Leave a Reply