Assalamualaikum w.b.t
Ramai yang mula terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan dan pelaburan.
Ia adalah satu keadaan yang positif dan petanda yang baik dari satu segi.
Tetapi sekiranya tiada ilmu dalam perniagaan dan pelaburan, ia boleh menjadi sebaliknya dan membawa kepada hutang dan bankrupsi.
Ramai yang berjaya tapi ramai juga yang berniaga dan melabur yang akhirnya rugi akibat tiada ilmu.
Dalam tulisan kali ini, saya kongsikan antara pesan mentor saya untuk JANGAN melabur jika…
9 Tip Jangan melabur jika…
1. Jangan melabur jika tiada ilmu dalam bidang pelaburan yang disertai
Buat sesuatu tanpa ilmu akan binasa. Sekiranya ibadah, ia boleh terbatal dan tidak mendapat pahala.
Begitu juga dalam apa jua perkara, lakukan berdasarkan ilmu. Jika tiada ilmu, carilah ilmu dengan berguru atau mengikuti kursus atau seminar atau membaca buku dan sebagainya.
2. Jangan melabur jika mengikut orang lain atau trend semasa
Ramai yang melabur saham apabila melihat rakan-rakan atau sahabat FB dapat menjana pendapatan dengan saham. Begitu juga, pelaburan emas, hartanah dan lain-lain.
Tidak salah melabur dalam bidang di atas, yang salahnya adalah hanya mengikut orang tanpa diri sendiri mengkaji selidik dan belajar terlebih dahulu.
Sama juga, apabila ada orang melabur dengan syarikat A dan dikatakan akan mendapat pulangan 3 kali ganda yang mana too good to be true, maka ramai yang menyertainya sedangkan ia adalah satu bentuk penipuan.
Jadi, berhati-hatilah dalam memilih portfolio pelaburan anda dengan membuat kajian terlebih dahulu.
3. Jangan melabur jika tidak ada simpanan
Wang simpanan anda adalah aset anda untuk kegunaan masa sekarang dan masa hadapan nanti.
Manakala pelaburan adalah peluang untuk menggandakan wang anda tetapi dengan risiko tertentu sama ada untung atau rugi.
Oleh sebab itu, kejarlah sesuatu yang pasti iaitu menyimpan wang anda secukupnya untuk kehidupan anda dalam beberapa tahun akan datang.
Sekiranya ada lebihan wang, dalam erti kata anda sanggup wang tersebut untung atau rugi, maka bolehlah anda laburkan.
Untuk pelaburan emas, ia adalah pelaburan jangka panjang (biasanya 5-10 tahun), di mana anda tukarkan wang simpanan anda dengan dinar emas atau jongkong emas. Tetapi, pastikan terlebih dahulu anda telah mempunyai simpanan untuk kegunaan harian anda.
Lagi elok, jika anda simpan dan laburkan pada masa yang sama iaitu dengan Tabung Haji di mana anda juga mendapat pulangan 7- 8 peratus setahun.
4. Jangan melabur dengan hutang
Kebanyakan orang suka melakukan perkara ke 4 ini.
Mereka suka meminjam dan menyertai skim pelaburan tanpa ilmu secukupnya dan mentor, yang akhirnya mereka rugi dan terpaksa menanggung hutang pula.
Oleh itu, jangan amalkan melabur dengan berhutang sama ada dengan ahli keluarga, pinjaman bank atau orang lain.
Berbeza jika anda yakin anda mampu membayar balik dengan simpanan anda, maka ia boleh dipertimbangkan.
5. Jangan melabur jika tidak yakin dan tidak jelas
Sekiranya anda tidak yakin dengan pelan sesuatu pelaburan, tidak jelas dengan operasi syarikat atau kaunter tersebut, siapa yang menguruskan syarikat tersebut, aset dan liabiliti mereka, apa yang mereka lakukan dan apa bisnes mereka, maka elakkan melabur dengan syarikat tersebut.
6. Jangan melabur jika tidak tahu ROI
Pulangan atas pelaburan (Return on Investment) amat penting sekiranya anda terlibat dalam pelaburan seperti saham dan hartanah.
Jangan melabur jika anda belum ada sasaran target ROI anda berapa peratus, 2-5 % atau lebih.
Tujuan melabur adalah untuk mendapatkan keuntungan. Oleh itu, tahu berapa kadar untung yang anda mahu amat penting supaya anda ada target dan perancangan yang baik.
7. Jangan melabur jika tidak halal
Ini amat penting sekiranya anda ingin melabur dalam mana-mana syarikat, pastikan syarikat atau produk syarikat tersebut adalah diakui halal dan patuh syariah.
Ini kerana, kita mahukan setiap keuntungan yang diperoleh adalah daripada hasil yang baik, suci dan halal.
8. Jangan melabur jika anda tidak bersedia
Apabila anda berani melabur, maka anda telah bersedia menghadapi apa jua risiko dan situasi yang datang sama ada peluang, keuntungan dan kerugian berdasarkan tahap ilmu dan kewangan yang anda miliki.
Oleh itu, jangan melabur jika anda belum bersedia dari segi ilmu, pengalaman, lebihan kewangan dan keyakinan serta keberanian.
9. Jangan melabur jika ada perasaan tamak di dalam diri
Di saat anda merasakan hadirnya perasaan tamak dan mahukan keuntungan segera di dalam diri, berhentilah sejenak dan fikirkan kembali apakah sebenarnya yang anda mahukan.
Tarik nafas dan berhati-hatilah kembali dalam membuat apa jua keputusan pelaburan.
Banyakkan berselawat dan beristighfar semoga dihilangkan perasaan tamak di dalam diri. Tambahkan perasaan syukur atas segala yang telah diperoleh.
Tidak akan berjaya dan sentiasa rugi bagi orang yang tamak dan tidak bersyukur.
Semoga 9 tip di atas dapat membantu anda dan saya untuk lebih bersedia dalam membuat apa jua jenis pelaburan.
Leave a Reply