Apabila Allah memimpin hidup kita…

rezekiAssalamualaikum w.b.t

Hari demi hari, tatkala siang dan malam berganti. Umur kita semakin bertambah dan betapa dekatnya kita kepada akhir kehidupan.

Dan semakin bertambahlah fitnah dan ujian dunia. Dunia hanyalah persinggahan, dan kita hanya berhenti rehat di sini sebelum meneruskan perjalanan seterusnya ke akhirat nanti.

Namun, ramai jua yang terleka dan lalai. Terus berehat dan berehat. Bersuka ria, banyak bergembira, bersorak dan berhibur.

Masa yang ada sentiasa diisi. Tetapi dengan pengisian yang menghiburkan dan menyeronokkan. Tatkala masjid dan majlis ilmu kebanyakannya dihadiri oleh golongan dewasa dan tua, konsert dan hiburan pula dipenuhi semua usia.

Di manakah kita sebenarnya? Siapa yang memimpin hidup kita? Kemana sebenarnya arah tujuan kita? Apakah di jalan betul atau sudah jauh dari petunjuk cahaya Tuhan.

Apakah hidup ini hanya tempat mengumpul harta dan bekerja. Berhibur dan bersuka ria. Bagaikan tiada akhirnya.

Ingatlah. Kita tidak akan lama di dunia ini. Masa yang berlalu hari demi hari tidak pula akan kembali lagi.

Tapi kenapa kita masih selesa. Bagaikan kiamat tidak akan tiba. Bagaikan kematian tidak menerpa.

Cukuplah mengikut pimpinan manusia. Cukuplah banyak bersama manusia.

Sedangkan kebenaran telah pun ada di hadapan kita.

Dimanakah rindu kita kepada Tuhan Maha Pencipta. Bersujud kepada-Nya dan menyahut panggilan azan-Nya.

Apakah air mata ini telah mengalir takutkan kepada-Nya. Apakah hati ini benar-benar cinta dan rindu kepada-Nya. Apakah hidup ini diatas jalan yang diredhai-Nya.

Jika Ya, berbahagialah. Semoga Allah memimpin hidup kita dengan hidayah, taufik dan inayah-Nya.

Jika Tidak, menangislah. Di saat kita masih punya masa. Sebelum ajal menjemput tiba.

Bertaubatlah. Reset kembali hidup kita. Temui kebahagiaan dan ketenangan sebenar apabila Allah memimpin hidup kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *