Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Sebagaimana saya janjikan dahulu, insyaAllah saya akan turut berkongsi buku-buku di pasaran yang telah saya baca dan juga pengajaran yang dapat diambil daripada buku tersebut.
Dalam ruangan Buku Pilihan kali ini, kita akan melihat lebih dekat buku motivasi diri daripada Robin Sharma bertajuk The Secret Letters of the Monk Who Sold His Ferrari.
Buku ini ialah buku yang kedua saya dapatkan melalui Amazon.com.
The Secret Letters of the Monk Who Sold His Ferrari (Bahasa Inggeris) ialah sebuah buku novel motivasi santai yang sarat dengan pengajaran berkaitan kehidupan.
Buku ini mengisahkan kisah seorang pekerja professional, Jonathan Landry, yang komited dan penuh dedikasi. Tetapi, hidupnya tidak bahagia dan tenang. Dia menghadapi masalah keluarga dan dalam proses bercerai dengan isterinya.
Dia juga hanya dapat berjumpa dengan anaknya seminggu sekali. Dan seringkali dia tidak dapat mengotakan janji-janjinya dengan anaknya, Adam.
Suatu hari, dia telah mendapat panggilan daripada ibunya yang memintanya berjumpa sepupu emaknya, Cousin Julian. Dia hanya mengenali Cousin Julian semasa dia kecil, iaitu semasa dia berumur 10 tahun.
Pada waktu itu, Cousin Julian yang dikenalinya merupakan seorang yang kaya, hidup dalam kemewahan dan paling menarik memiliki sebuah kereta Ferrari.
Dia sudah lama tidak berjumpa dengan Cousin Julian. Hanyalah yang diketahuinya Cousin Julian kini tidak lagi hidup dalam kemewahan, sebaliknya telah merantau ke Himalaya dan hidup bersama rahib-rahib di sana.
Cousin Julian yang dia kenali dahulu telah berubah dan hidup penuh sederhana.
Bermula daripada pertemuannya dengan Cousin Julian, Jonathan perlu melakukan satu misi penting iaitu mengumpulkan kesemua 9 talisman yang mengandungi nota pengajaran (wisdom) berkaitan kehidupan.
Setiap talisman dipegang dan dijaga oleh seorang penjaga yang berada di pelbagai negara. (Paris, padang pasir Sedona, Shanghai dan lain-lain).
Sebelum melaksanakan misinya, Jonathan terpaksa mengambil cuti lebih daripada 3 minggu untuk merantau ke pelbagai negara bagi mengumpul kembali talisman tersebut.
Dalam pengembaraannya, dia telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dan juga mengenali lebih dekat cara hidup penjaga-penjaga talisman tersebut.
Di sepanjang pengembaraannya, dia perlu mencatat setiap pengalaman yang telah dia lalui di dalam sebuah jurnal yang diberikan oleh Cousin Julian.
Akhirnya, misinya berakhir di mana dia telah berjaya mengumpul kembali 9 talisman tadi dan mendapat satu kejutan di dalam hidupnya.
Sesuatu yang dia impikan dan dia cari selama ini akhirnya telah dapat dia temui.
Itulah tujuan utama misi pengembaraannya ke pelbagai negara, yang di bantu oleh emaknya dan Cousin Julian, telah memberikan kesedaran kepadanya berkaitan pengajaran-pengajaran penting di dalam kehidupan.
Pengajaran tersebut terkandung di dalam 9 surat talisman yang telah dikumpulnya.
9 Pengajaran Kehidupan
1. The Power Of Authenticity
2. Embrace Your Fears
3. Live With Kindness
4. Make Small Daily Progress
5. To Lead Your Best Life, Do Your Best Work
6. Choose Your Influences Well
7. Life’s Simplest Pleasures Are Life’s Greatest Joys
8. The Purpose Of Life Is To Love
9. Stand For Something Bigger Than Yourself
****************************************************************
Buku ini secara tidak langsung membawa kita mengembara ke pelbagai negara dan melihat lebih dekat pengajaran kehidupan berkaitan 9 pengajaran penting di dalam surat talisman ini.
Ia adalah sebuah buku novel bahasa Inggeris yang amat saya cadangkan sebagai bacaan anda. 🙂
saya memang sangat kalau baca buku tentang motivasi ni. Lagi2 kalau novel.. hehe. thanks share!
sama2. 🙂