Assalamualaikum w.b.t
Tidak ramai yang dapat membezakan antara kehendak dan keperluan. Oleh sebab itulah, ada yang hidup melebihi kemampuan kewangan mereka kerana terlalu mengikut kehendak dan melebihi keperluan.
Hiduplah dalam lingkaran kemampuan kita.
Statistik rakyat yang berhutang semakin bertambah tahun demi tahun sama ada hutang kad kredit, hutang pinjaman atau hutang perniagaan. Malah ramai juga yang telah diisytihar bankrap dan muflis.
Prinsip asas dalam kewangan adalah perbelanjaan mestilah kurang daripada pendapatan.
Sekiranya prinsip ini dilanggar, perbelanjaan melebihi pendapatan bulanan, maka terpaksalah seseorang itu berhutang untuk menampung apa yang kurang.
Dalam bukunya, Robert T. Kiyosaki, RichDad ada membahagikan hutang kepada 2 jenis iaitu hutang baik dan hutang buruk.
Hutang Baik (Good Debt)
Hutang yang baik ialah dengan sebab hutang tersebut, kita mendapat aset iaitu sumber pendapatan tambahan ke dalam akaun kita.
Contohnya, kita berhutang dengan bank untuk membeli sebuah rumah dengan bayaran bulanan RM 500 sebulan. Tetapi, pada masa yang sama, kita sewakan rumah tersebut kepada penyewa dengan sewaan RM 800 sebulan. Maka, kita mempunyai lebihan RM 300 sebagai pendapatan pasif kita.
Hutang Buruk (Bad Debt)
Hutang yang buruk pula ialah dengan sebab hutang tersebut, wang keluar daripada akaun kita di mana kita terpaksa mengeluarkan wang kita setiap bulan untuk membayar hutang. Contohnya, hutang pembelian kereta baru, di mana kita perlu membayar RM 450 sebulan setiap bulan kepada pihak bank.
Walaupun begitu, dalam Islam, amalan berhutang tidak digalakkan kecuali apabila amat memerlukan.
Paling baik, adalah kita mendidik diri kita untuk hidup dalam lingkungan kemampuan kewangan kita dan tidak membazir. Sebaliknya, sentiasa menyimpan wang sendiri untuk masa hadapan.
Apabila telah meminjam pula, perlulah berniat dan berusaha untuk membayar hutang tersebut kembali mengikut masa yang telah dipersetujui.
Leave a Reply