Perkongsian bagaimana saya mengurus masa

Jam pasir kejayaanAssalamualaikum w.b.t

Seorang sahabat di Facebook ada bertanya, bagaimana saya mengurus masa.

Selain bekerja dan juga seorang penulis/blogger, saya perlu urus masa dengan sebaiknya. Saya yakin anda juga mempunyai komitmen dan tanggungjawab anda yang tersendiri.

Mencatat diari

Salah satu cara mengurus masa adalah mengatur setiap masa dan apa yang akan kita lakukan.

Sekadar berkongsi cara yang saya buat, setiap malam saya akan tulis apa yang saya akan lakukan di dalam Buku Latihan.

Ya, saya tidak gunakan diari. Saya lebih selesa gunakan buku latihan garis dua sahaja. Buku ini saya bawa ke mana sahaja saya pergi, di rumah atau ke kampung.

Setiap malam, saya catatkan dan tick pada perkara to-do-list yang telah saya lakukan dan yang tidak dapat saya lakukan. Saya juga catat idea-idea baru yang saya peroleh pada hari tersebut. Ia bagi mengelakkan saya terlupa idea-idea tersebut.

Idea di atas idea

Bagi saya, setiap idea yang terlintas dalam fikiran saya adalah penting dan saya akan lakukannya dengan segera. Paling lewat dalam tempoh satu hingga dua bulan, saya akan lakukan idea tersebut sama ada kecil atau besar.

Saya melatih diri saya untuk tidak sesekali mengatakan ‘tidak’ ‘tidak boleh’ ‘mustahil’ dan sebagainya. Sama ada idea tersebut kecil atau besar, saya cuba untuk lakukannya dan mencari jalan bagaimana ingin melakukannya.

Saya percaya kepada potensi yang telah Allah kurniakan kepada minda bawah sedar yang mampu memberikan ‘idea di atas idea’ iaitu langkah-langkah yang boleh saya ambil bagi menjadikan idea utama tadi dapat dilakukan.

Tindakan & Amalan

Di dalam diari saya, saya akan tulis 5 perkara yang ingin saya lakukan esok bagi mencapai Master Plan saya (Saya akan tulis berkaitan Master Plan dalam artikel akan datang). Saya juga catatkan 5 amalan sunat yang perlu dilakukan setiap hari dan tandakan tick apabila saya telah lakukannya.

Bagi saya, mempunyai senarai tindakan atau projek yang ingin dilakukan penting, tetapi lebih penting untuk mempunyai senarai catatan peribadi untuk amalan sunat yang dilakukan seperti solat sunat Dhuha, bersedekah dan sebagainya.

Menjaga masa

Setiap hari, saya cuba pastikan saya mengikut jadual yang telah dirancang. Sekiranya terbabas, setiap kali selepas solat 5 waktu, saya akan lihat kembali tindakan saya dalam waktu solat yang sebelum ini sehingga sekarang. Jika tidak sebagaimana yang dirancang, saya akan betulkan kembali supaya ada pencapaian yang dilakukan pada hari tersebut.

Inilah antara rutin yang boleh saya kongsikan buat masa ini. Saya yakin anda sudah pasti mempunyai rutin hidup anda sendiri juga. Silakan berkongsi rutin hidup anda dan bagaimana anda mengurusnya.

Harapan saya moga sama-sama kita dapat manfaatnya dan dapat mengurus masa dengan cara yang terbaik. InsyaAllah.

2 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *